Mohamed Salah berkata dia mahu menikmati musim yang mungkin terakhir buatnya di Liverpool selepas memainkan peranan penting ketika The Reds menumbangkan Manchester United 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi tadi.

Salah membantu jaringan pembukaan Luis Diaz sebelum menjaringkan gol ketiga pasukannya -- gol ke-10 daripada tujuh penampilannya di Old Trafford -- untuk pasukan bimbingan Arne Slot berkenaan memenangi kesemua tiga perlawanan liga awal musim ini.

Bintang Mesir itu menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima penampilan berturut-turut menentang United dalam EPL walaupun masa depannya di Anfield masih menjadi tanda tanya.

Menjelang tahun terakhir dalam kontraknya, Salah mahu menikmati setiap saat dalam musim kelapannya bersama Liverpool.

"Ia keputusan yang baik. Semua orang tahu aksi derby ini amat penting buat penyokong dan bandar kami," katanya kepada Sky Sports.

"Kami perlu meneruskannya dan, jika anda mahu bersaing memenangi liga, anda perlu memenangi setiap perlawanan.

"Pengurus gemarkan kami untuk memberi tekanan di bahagian atas dan terdapat beberapa kesilapan yang kami dapat manfaatkan untuk menghukum mereka -- ia memang sebahagian daripada perancangannya.

"Saya memiliki musim panas yang baik, masa yang panjang untuk bersendirian dan memikirkan yang sedikit positif. Ini tahun terakhir saya bersama kelab ini dan saya mahu menikmatinya.

"Saya berasa bebas untuk bermain bola sepak. Kita akan lihat apa yang akan berlaku tahun depan.

"Tiada siapa di kelab ini berbincang dengan saya mengenai kontrak. Ia bukan terpulang kepada saya, ia terpulang kepada kelab ini," katanya.