Harapan Spurs untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan kian kabur selepas mereka tewas kepada seteru dalam perebutan penamat empat teratas, Newcastle.
Newcastle mendahului 5-0 selepas hanya 21 minit perlawanan belangsung untuk menjadi pasukan kedua tercepat melakukannya dalam sejarah EPL selepas rekod yang dilakukan Manchester City ke atas Watford pada September 2019.
Kekalahan besar itu turut menyaksikan ketua jurulatih sementara, Cristian Stellini, dipecat semalam dan Ryan Mason pula dipilih untuk menggantikan tempat itu sehingga penghujung musim ini.
Spurs malam tadi mengeluarkan satu kenyataan bahawa barisan pemain mereka telah melakukan undian untuk membayar semula tiket penyokong yang hadir ke perlawanan itu.
The players have a message for our fans who went to Newcastle on Sunday... pic.twitter.com/HFfmo8R2iH
— Tottenham Hotspur (@SpursOfficial) April 25, 2023
"Sebagai satu pasukan, kami memahami kekecewaan anda, kemarahan anda. Ia tidak cukup baik," kata kenyataan itu.
"Kami sedar kata-kata sahaja tidak mencukupi dalam situasi seperti ini tetapi percayalah, kekalahan seperti ini melukai kami.
"Kami menghargai sokongan anda, di laman sendiri dan di laman lawan, dan dengan kesedaran ini, kami mahu membayar semula kos yang dikeluarkan penyokong untuk membeli tiket di St James' Park.
"Kami sedar ini tidak akan mengubah apa yang berlaku pada hujung minggu lalu dan kami akan memberikan segala-galanya untuk memperbetulkan keadaan ketika menentang Manchester United pada Khamis ini.
"Sekali lagi, sokongan anda amat bermakna buat kami. Dengan bersama-sama -- hanya dengan bersama-sama kita dapat melangkah ke depan."
Spurs kini ketinggalan enam mata di belakang pasukan di tangga keempat, Manchester United, menjelang perlawanan Khamis ini biarpun sudah beraksi lebih dua perlawanan berbanding lawan itu.