EPL
EPL: Harry Maguire hampir pasti kekal di Manchester United
Bekas kapten Manchester United, Harry Maguire, kelihatan tidak akan menyertai West Ham dalam jendela perpindahan kali ini, demikian dilaporkan agensi berita PA.
Pertahanan tengah berusia 30 tahun itu menjadi pertahanan termahal dalam sejarah ketika menyertai pasukan gergasi Old Trafford itu daripada Leicester City dengan tanda harga £80 juta (RM471.42 juta) pada 2019.
Maguire kemudian segera diberikan lilitan kapten tetapi kemerosotan prestasinya kebelakangan ini menyaksikan jawatan itu dilucutkan pengurus, Erik ten Hag, untuk digantikan Bruno Fernandes bulan lalu.
Iklan
Tawaran awal £20 juta (RM117.85 juta) yang dikemukakan West Ham untuk mendapatkan pemain kebangsaan England itu telah ditolak United tetapi mereka kemudian meningkatkannya kepada £30 juta (RM176.78 juta) dan ia dipersetujui The Red Devils minggu lalu.
Bagaimanapun, The Hammers kemudian mula melihat kepada pilihan berpotensi lain dan difahamkan Maguire kini hampir pasti akan kekal di Old Trafford.
Sumber terdekat berkata peemain itu mahu kekal di United dan yakin akan memperoleh minit permainan yang mencukupi musim ini, di mana dia juga dilaporkan tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan pengurus West Ham, David Moyes, sepanjang proses itu.
Maguire tidak diturunkan ketika United menewaskan Wolves awal pagi semalam dan Ten Hag sebelum ini berkata pertahanan itu masih memiliki masa depan bersama kelab berkenaan seandainya dia berusaha untuk bersaing.
Dengan United kelihatan sukar untuk mencari seorang pertahanan tengah bagi menggantikan Maguire pada penghujung jendela perpindahan ini, dia kelihatan akan kekal di Old Trafford.
Must-Watch Video