Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, bersedia untuk berjuang bagi mengekalkan Kyle Walker dalam pasukannya selepas terdapat percubaan untuk memancing pemain itu dilakukan Bayern Munich.

Kedudukan Walker di bahagian pertahanan sayap menjadi kurang selesa bersama juara 'treble' musim lalu itu, yang memperkenalkan sistem baru dengan menggunakan empat pertahanan tengah, di mana seorang daripada mereka akan bertindak sebagai pemain tengah sewaktu menyerang.

Bagaimanapun, dia masih dapat melakukan 39 penampilan musim lalu tetapi tidak memulakan perlawanan final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Inter Milan dan kini, terdapat spekulasi bahawa dia akan menyertai juara Bundesliga, Bayern.

Guardiola menegaskan bahawa dia mahu mengekalkan pemain berusia 33 tahun itu, yang kontraknya akan tamat musim panas depan, dengan berkata: "Dia pemain yang luar biasa penting buat pasukan kami.

"Dia mempunyai kualiti yang istimewa, jadi amat sukar untuk mencari pemain sepertinya di seluruh dunia. Kualiti istimewanya tiada pengganti.

"Kami mahukannya. Pada akhirnya, saya tidak tahu apa yang akan berlaku.

"Saya tahu sudah ada perbincangan di antara kedua-dua kelab tetapi kami akan berjuang untuknya.

"Saya pasti bayern akan melakukan perkara sama. Saya tidak tahu bagaimana kesudahannya," katanya.