Skip to main content

Bola Sepak

EPL: Guardiola enggan bercakap tentang peluang Manchester City raih 'treble'

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pep-guardiola.jpg
Pep Guardiola enggan melayan soalan mengenai peluang untuk Manchester City memenangi gelaran 'treble' musim ini sehinggalah mereka memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA, di mana dia juga tidak senang dengan kenyataan yang mengatakan bahawa pasukannya kini hanya dibezakan 11 perlawanan daripada kejayaan itu.

City akan berdepan Sheffield United dalam separuh Akhir Piala FA lewat malam ini selain turut layak ke peringkat sama dalam Liga Juara-Juara Eropah selepas menyingkirkan Bayern Munich awal pagi Khamis lalu.

Pasukan juara bertahan EPL itu kini sedang menghampiri kedudukan pendahulu liga, Arsenal dan terdapat kemungkinan untuk mereka mengulangi kejayaan Manchester United memenangi tiga gelaran semusim pada 1999.

Bagaimanapun, Guardiola sedang gusar dengan jadual padat yang dilalui pasukannya dengan pengurus itu sudahpun bercakap mengenai kepenatan yang sedang dilalui barisan pemainnya sebaik menewaskan Bayern dan akan bertemu Real Madrid bagi penentuan ke final UCL.

Atas sebab itu, dia tidak menggemari tanggapan mengenai peluang pasukannya meraih gelaran 'treble' menjelang aksi di Stadium Wembley malam ini.

"Saya amat gembira kita sudah melalui 10 soalan sebelum ada soalan pertama berkenaan gelaran treble ini. Ia agak bagus," kata Guardiola dalam sidang media sebelum perlawanan itu.
 
"Kita akan mula bercakap mengenai treble sebaik kami memenangi EPL dan selepas kami memenangi Piala FA, sebelum final UCL.

"Lihat betapa jauhnya perjalanan itu untuk mula bercakap mengenainya."

Wartawan yang bertanyakan soalan itu kemudian menjawab: "Tetapi ia hanya 11 perlawanan, ia tidak terlalu jauh."

Ia membuatkan Guardiola berasa tidak senang dan berkata: "Oh 'hanya'. Ya 'hanya' 11 perlawanan. Kita masih terlalu jauh.

"Saya sudah katakan banyak kali: berapa kali anda dapat lihat di negara yang hebat ada pasukan melakukan treble? Berapa tahun? Berapa kali? Hanya sekali. Jiran kami melakukannya sekali dan untuk berapa abad?"

Ditanya sama ada dia teruja, Guardiola berkata: "Teruja dengan treble? tidak sama sekali."
 

Advertisement

Must Watch Video