Ejekan untuk Emery turut ditanggung pemain -- Mbappe
Pemain sayap Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, memberi amaran kepada penyokong bahawa jika Unai Emery diejek, ia juga bermakna mereka mengejek pemain-pemain.
Pengendali itu kini berada di bawah tekanan susulan kegagalan membawa PSG melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Walaupun gergasi Perancis itu menundukkan Metz 5-0 dalam saingan Ligue 1 lewat malam tadi untuk terus selesa di puncak carta dengan kelebihan 14 mata, penyokong tetap tidak berpuas hati kerana percaya pengendali dari Sepanyol itu tidak layak mengemudi pasukan bagi mengejar kejayaan di Eropah.
Mbappe, yang turut mencipta satu gol di Parc Des Princes, menyatakan sokongannya kepada Emery sambil mengingatkan penyokong bahawa setiap kegagalan harus sama ditanggung oleh pemain dan bukan setakat pengurus.
"Mereka tidak gembira tetapi ia bukan silap pengurus sahaja. Jika mereka mahu mengejek Emery, kami juga perlu menerimanya kerana kami tewas sebagai satu pasukan.
"Kami yang beraksi di padang, jadi kami yang sepatutnya menerima cemuhan," kata Mbappe.
Dalam masa sama, Mbappe mengulangi dia tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dengan bekas pengendali Sevilla itu.
"Bukan saya yang membuat keputusan tentang status pengurus tetapi saya dapat menyesuaikan diri dengan baik di bawah kendalian Emery.
"Apa yang penting adalah kami bangkit kerana masih ada tiga kejohanan yang boleh dimenangi. Kekalahan di tangan Real Madrid memang sukar tetapi kami profesional, jadi kami harus memberikan segalanya untuk mendapat ketiga-tiga kejuaraan yang tinggal."