Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Dollah lega percaturan berani berbaloi

dollah.jpg
Percaturan berani pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh, memasukkan pemain simpanan dalam 15 minit terakhir membuahkan hasil apabila Pahang mengakhiri saingan 90 minit itu dengan kutipan tiga mata berharga setelah menewaskan Kedah 1-0, semalam.

Serba tidak menjadi, saingan di Stadium Darul Makmur itu menyaksikan Dollah akhirnya terpaksa mencuba nasib dengan memberi kepercayaan kepada pemain dari bangku simpanan.

Bermula dengan kemasukan Wan Zaharulnizam Zakaria yang menggantikan Norshahrul Idlan Talaha, berberapa pertukaran lain menyaksikan hanya Dickson Nwakaeme pemain utama yang membarisi jentera serangan Pahang.

Bagaimanapun, melihat percaturan itu membuahkan hasil dengan jaringan tunggal menerusi Zuhair Aizat Nazri, Dollah mengakui jaringan itu melahirkan kelegaan luar biasa.

"Selepas jaringan itu, hilang tekanan yang saya hadapi di luar padang kerana sangat sukar untuk mendapatkan gol. Alhamdulillah, ia satu gol yang penting dan tiga mata diraih pasukan," ujarnya.

Dollah juga mengakui terkilan dengan kegagalan penalti Norshahrul pada minit ke-31 serta jaringan Mohamadou Sumareh yang dinafikan pengadil, Zamzaidi Katimin, pada minit ke-63.

Namun, apa yang menyelamatkan Pahang mencatat tiga mata semalam adalah disebabkan sifat mahukan kemenangan tidak pudar sehingga ke saat akhir.

"Kami memiliki banyak peluang dan dua atau tiga daripadanya patut berakhir dengan gol. Jaringan Sumareh yang dibatalkan pun saya rasa ia sah. Mungkin hanya untuk menyedapkan hati saya," tambah Dollah.
 

Advertisement

Must Watch Video