Skip to main content

Bola Sepak

Deschamps: Perancis tidak boleh harapkan Pogba sahaja

pogba-france.jpg
Didier Deschamps memberikan amaran buat pasukan Perancis bahawa mereka tidak boleh hanya bergantung kepada kemampuan Paul Pogba sekiranya mahu melangkah jauh dalam Piala Dunia 2018.

Pemain tengah Manchester United itu melalui kempen sukar dalam Liga Perdana Inggeris musim ini sehingga dilaporkan berdepan masalah dengan pengurus The Red Devils, Jose Mourinho.

Dia juga menerima ejekan dan cemuhan daripada peminat Les Bleus sewaktu mewakili Perancis dalam aksi persahabatan, baru-baru ini.

Pogba merupakan sebahagian daripada pemain yang membawa Les Bleus melangkah ke final Euro 2016, di mana Perancis tewas ditangan Portugal dalam final, namun gagal mengekalkan prestasi sejak meninggalkan Juventus.

Tatkala harapan kini menggunung buat Perancis untuk mengulangi kejayaan Zinedine Zidane dan rakan sepasukannya 20 tahun lalu, Pogba diharapkan mampu menyinar tetapi Deschamps menganggap tonggak tengah itu tetap mempunyai kekangan.

"Pogba mampu melakukan segalanya tetapi dia tidak melakukan semua perkara seorang diri," ujar Deschamps.

"Persembahannya ketika berdepan Itali baru-baru ini bukanlah yang terbaik tetapi saya sudah berbincang tentang aksi itu dengannya.

"Segalanya bagus dan tiada masalah."

Perancis bakal mengharungi aksi pemanas badan terakhir menentang Amerika Syarikat awal pagi esok dan Deschamps memberikan bayangan bahawa kesebelasan utama di Lyon mungkin dikekalkan untuk perlawanan Piala Dunia yang pertama berdepan Australia.

"Perancangan pasukan berdepan Amerika Syarikat akan hampir sama dengan aksi pertama Piala Dunia tetapi ia tidak serupa sepenuhnya.

"Kini, segalanya tampak baik dan kami melalui sesi latihan berganda pada minggu ini.

"Kami sentiasa mampu melakukan lebih baik tetapi tidak boleh mengabaikan pasukan lawan. Kami harus terus berkembang tidak kira daripada aspek serangan atau bertahan."

Advertisement

Must Watch Video