Kehangatan perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di antara Malaysia dan Chinese Taipei malam ini semakin terasa, lebih-lebih lagi kita dalam semangat dan momentum terbaik selepas 'epic comeback' yang dilakukan ketika perlawanan menentang Republik Kyrgyz tempoh hari.

Perlawanan kali ini, bagi pandangan peribadi saya, amatlah penting dengan kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Namun, mengikut perbandingan yang saya lakukan terhadap kedua-dua pasukan ini berdasarkan perlawanan terdahulu, bukan mudah untuk Harimau Malaya membaham Chinese Taipei.

Tidak dinafikan Chinese Taipei mempunyai banyak kelebihan apabila bermain di tempat sendiri berbanding bermain di tempat lawan, di mana mereka tewas 0-3 ketika menentang Oman Khamis lalu.

Perlu juga diingatkan bahawa mereka tewas dengan satu jaringan 'set piece', satu jaringan sendiri dan satu jaringan daripada sepakan percuma -- dua daripada jaringan itu sepatutnya boleh dielakkan.

Daripada perlawanan terdahulu kedua-dua skuad itu, kelebihan Harimau Malaya adalah di bahagian serangan dengan kehadiran trio Arif Aiman, Darren Lok dan Faisal Halim.



Kelemahan skuad lawan pula adalah di bahagian pertahanan walaupun mereka menggunakan formasi terbaik iaitu 4-4-2 ketika menentang Oman.

Jadi, dengan kelemahan dan kelebihan itu, jika kita tumpukan lebih penguasaan kepada serangan menerusi 'set piece' dan sepakan penjuru, semestinya peluang untuk menjaringkan gol itu terjamin.

Saya secara peribadi mengharapkan Harimau Malaya juga tidak terlalu leka di bahagian pertahanan.

Ia selepas melihat kepada perlawanan menentang Republik Kyrgyz tempoh hari, di mana walaupun kita memenangi perlawanan itu, kita masih dibolosi dua jaringan disebabkan kesilapan mudah yang dilakukan.

Jadi, apa pun yang berlaku, kita perlu berikan sepenuh perhatian dan fokus sepanjang perlawanan supaya kemenangan berpihak kepada kita! Ayuh Harimau Malaya!