PIALA FA
De Paula gembira temui sentuhan penyudah
Penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, menamatkan kemarau gol musim ini menerusi jaringan hatrik untuk membantu The City Boys mara ke pusingan ketiga Piala FA hasil kemenangan 4-0 ke atas Kuching FA, malam tadi.
"Saya menunggu terlalu lama untuk menjaringkan gol dalam Liga Super.
"Saya agak sedih tetapi hari ini saya menjaringkan gol.
Iklan
"Saya berharap dapat memberikan lebih lagi kerana saya sudah menemui sentuhan," kata penggempur tersebut.
Pertemuan di Stadium KLFA, Cheras, itu terarah kepada De Paula setelah penjaring terbanyak Liga Perdana 2017 itu kemarau jaringan dalam empat perlawanan sebelum ini.
Penantian bekas pemain Selangor itu akhirnya terlerai pada minit ke-20 selepas dia menanduk masuk hantaran Syazwan Andik Ishak, sekali gus memberi gol pendahuluan kepada tuan rumah.
Memimpin permainan pada babak pertama, Kuala Lumpur lebih garang pada babak kedua apabila menambah tiga lagi gol, bermula dengan jaringan Paulo Josue pada minit ke-48.
Ia disusuli gol kedua peribadi De Paula pada minit ke-64 apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti gagal ditepis Saiful Kamel Jamel.
Empat minit menuju waktu penamat, Kuala Lumpur dihadiahkan penalti susulan bola terkena tangan pemain lawan, Yusman Muhamad, namun gagal disempurnakan De Paula.
Penyerang dari Brazil itu menebus kehampaan tiga minit kemudian untuk melengkapkan hatrik.
"Setakat hari ini, saya sangat berpuas hati dengan prestasi pemain.
"Mereka menunjukkan semangat sehingga tamat 90 minit," kata jurulatih Kuching FA, Ahmad Fairuz Yunus.
Must-Watch Video