Skip to main content

Bola Sepak

De Ligt patut kekal lebih lama di Ajax

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

matthijsdeligt-cropped_xjisz2rr5sep1dxnva81vcuyw.jpg
Legenda Ajax, Johnny Rep, percaya bintang muda bek tengah, Matthijs de Ligt, patut kekal lebih lama bersama pasukan berbanding meninggalkan kelab Belanda itu.

De Ligt, 19, muncul sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik Eropah ketika ini dan telah menyarung lilitan ketua pasukan.

Pemain yang tampil 13 kali bersama Belanda itu dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab gergasi Eropah, termasuk Barcelona, Juventus, Manchester City dan Manchester United.

Namun, Rep, yang pernah membantu Ajax memenangi dua kejuaraan Eredivisie serta Piala Eropah ketika awal 70-an, berharap De Ligt akan kekal lebih lama di Amsterdam.

"Lebih baik untuk dia kekal lebih lama di Ajax," ujar Rep.

"Dia berusia 19 tahun dan seorang kapten. Dia tidak perlu tergesa-gesa."

Ajax bakal bertandang ke Real Madrid untuk memadamkan kelebihan 2-1 yang diraih lawan dalam saingan pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Rep percaya skuad kendalian Erik ten Hag itu masih berpeluang mengatasi Madrid yang tewas dalam tiga daripada empat aksi terdahulu.

"Sejak mula, saya tidak lihat Madrid akan melepasi halangan dalam pertemuan ini," tambah Rep.

"Saya melihat Madrid musim ini dibelenggu banyak masalah. Ajax masih berpeluang."

Advertisement

Must Watch Video