Skip to main content

Bola Sepak

De Bruyne dedah Manchester City hanya 10 minit jalani persiapan hadapi derby

de-bruyne.jpg
Bintang Manchester City, Kevin De Bruyne, mendedahkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hanya berlatih selama 10 minit sebagai persiapan sebelum mengalahkan seteru setempat, Manchester United, dalam perlawanan 'derby' minggu lalu.

Sebelum rehat antarabangsa, City mendominasi sepenuhnya kemenangan 2-0 di Old Trafford, di mana De Bruyne dan rakan sepasukannya membenam lawan itu dengan jaringan sendiri oleh Eric Bailly dan Bernardo Silva.

Pasukan pelawat kendalian Pep Guardiola itu -– yang memenangi lebih banyak perlawanan EPL di Old Trafford berbanding pasukan lain (lapan) -– menikmati penguasaan bola setinggi 67.4 peratus selain melancarkan lima percubaan tepat berbanding hanya satu oleh The Red Devils.

Ketika bersama Belgium dalam jadual antarabangsa, De Bruyne mendedahkan mengenai persiapan City menghadapi pertembungan derby itu. 







"Sehari sebelum perlawanan, kami biasanya berlatih secara taktikal berdasarkan cara lawan beraksi," kata De Bruyne kepada podcast MidMid.

"Tetapi sebelum bertemu United, Pep berkata: 'Kita tidak tahu bagaimana mereka akan bermain. Kita akan lihat. Kemudian kami berhenti berlatih selepas kira-kira 10 minit. 

"Selalunya Pep tahu bagaimana lawan akan bermain. Kali ini dia tidak pasti, jadi dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Kami mengamalkan apa yang selalu lakukan, tetapi kali ini pengurus kami tidak pasti apakah pihak lawan akan ketengahkan lima atau empat pertahanan, bermain dengan formasi berlian mahupun dengan tiga penggempur."

City kini di tempat kedua EPL selepas 11 perlawanan dengan tiga mata di belakang pendahulu, Chelsea, manakala United di tangga keenam dan sembilan mata di belakang The Blues.

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video