LIGA PERDANA MSIA
Daniel terpaksa rehat sebulan lagi
Pemain tengah Felda United, Muhammad Daniel Amier Norhisham, terpaksa menerima hakikat untuk terus menanti aksi pertamanya dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila baru selesai menjalani pembedahan, Sabtu lalu.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, pemain muda yang sebelum ini berdepan kecederaan paha sehingga direhatkan selama tiga bulan, perlu menanti sehingga satu bulan lagi untuk kembali beraksi.
Daniel mengalami kesakitan yang teruk dalam perut sehingga perlu dibedah dan hanya sempat melakukan latihan selama satu hari sahaja pada minggu lalu.
Iklan
Sememangnya dia agak tertekan apabila belum sempat untuk beraksi dalam mana-mana perlawanan musim ini, ditambah pula harapan untuk menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe juga lebur.
"Saya tidak dapat ulas soal permainan kerana belum berkesempatan tetapi ia menjejaskan moral saya.
"Sejak balik dari China, saya tidak sempat menyertai Felda United akibat hamstring. Kemudian baru sembuh, saya ditimpa masalah apendiks, sehari selepas kembali menyambung latihan.
"Saya percaya ada hikmah atas kejadian ini," katanya.
Pemain yang menyerlah ketika Kejohanan AFC B-23 Januari lalu itu, yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 hari ini, berazam untuk lebih berhati-hati walaupun kecederaan kecil yang mampu menenggelamkan kariernya dalam sekelip mata.
"Saya perlu lebih mengambil berat terhadap diri sendiri agar kecederaan kecil seperti ini tidak berulang. Yang penting, saya ingin menyumbang sesuatu kepada Felda United kerana belum menyumbang apa-apa lagi untuk pasukan pada tahun ini," tambahnya.
Must-Watch Video