BOLA SEPAK
Copa America 2020: Colombia tarik diri sebagai tuan rumah akibat rusuhan anti-kerajaan
Colombia tidak akan menjadi tuan rumah bersama Argentina menganjurkan Copa America bulan depan berikutan masalah keselamatan di negara itu, umum badan induk Amerika Selatan, CONMEBOL.
Colombia dalam minggu keempat protes anti-kerajaan dan kebimbangan isu keselamatan yang semakin meningkat, kekhuatiran terhadap penularan COVID-19 juga memaksa CONMEBOL bertindak.
Bandar-bandar di Cali, Medellin dan ibu kota, Bogota, dijadual menjadi gelanggang pilihan penganjuran termasuk peringkat kalah mati, sementara Barranquilla pada asalnya akan menjadi tuan rumah kepada perlawanan akhir.
Iklan
Colombia meminta kejohanan itu -- yang sepatutnya bermula bulan depan selepas ditangguhkan tahun lalu berikutan ancaman pandemik berkenaan -- bermula November atau Disember.
☑️Comunicado➡️?https://t.co/YqRxusI6d9 pic.twitter.com/8vIYVt6vGS— CONMEBOL Media (@ConmebolMedia) May 21, 2021
Tetapi CONMEBOL menolak permintaan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi dengan jadual baru akan diumumkan sedikit masa lagi.
"Atas sebab-sebab yang berkaitan dengan kalendar pertandingan antarabangsa dan logistik kejohanan, adalah mustahil untuk meminda Copa America 2021 ke November," menurut kenyataan itu.
"CONMEBOL menghargai semangat dan komitmen Presiden Republik Colombia, Ivan Duque, dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Colombia, Ramon Jesurun, serta pasukannya.
"Sudah pasti pada masa depan, projek bersama yang baru akan diperkenalkan demi perkembangan bola sepak Colombia dan Amerika Selatan.
"CONMEBOL jamin akan meneruskan Copa America 2021 dan dalam beberapa hari mendatang akan memaklumkan mengenai penempatan semula perlawanan yang seharusnya dimainkan di Colombia."
Australia dan Qatar, yang kedua-duanya akan menyertai kejohanan itu sebagai pasukan undangan telah pun menarik diri.
Brazil merupakan juara bertahan dan diundi dalam Kumpulan B di samping Colombia, Peru, Ecuador dan Venezuela.
Argentina, Uruguay, Chile, Paraguay dan Bolivia pula dalam Kumpulan A.
Must-Watch Video