LIGA INGGERIS
Conte puji kehebatan Willian
Prestasi terbaik yang dipamerkan Willian ketika ini membuatkannya tidak terlepas daripada menerima pujian ketua jurulatih Chelsea, Antonio Conte, selepas membantu pasukan membenam Crystal Palace 2-1, awal pagi tadi.
Pemain Brazil itu membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi gerakan dari sebelah kiri sebelum masuk ke tengah padang dan melepaskan rembatan yang terkena Martin Kelly sebelum tepat menuju ke arah gol Palace.
Jaringan di Stamford Bridge itu adalah gol kelimanya dalam lima aksi terakhir, sekali gus mencuri perhatian Conte.
Iklan
“Anda boleh lihat ketika seorang pemain berada di tahap terbaik, saya orang pertama yang akan meletakkanya dalam kesebelasan utama.
“Willian beraksi dengan cemerlang dan ia ditampilkan dalam kedua-dua cara, semasa memegang bola dan tanpa kawalan bola.
“Dia bekerja keras untuk membantu pasukan dan dapat memberikan impak kepada kami melalui kematangan yang ditunjukkan. Amat penting untuk Chelsea beraksi seimbang di atas padang kerana jika ia tidak dapat diraih, kami akan berdepan kesukaran,” ujar Conte.
Chelsea bakal berdepan Barcelona di tempat lawan bagi aksi timbal-balik pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah pada pertengahan minggu depan dan Conte sedar bahawa anak buahnya akan berdepan salah satu pasukan terbaik dunia.
“Kami harus mempamerkan keinginan yang tinggi. Permainan pasti akan berbeza.
“Kami beraksi menentang salah satu pasukan terbaik dunia. Kami harus meletakkan fokus penuh, sama seperti ketika perlawanan pertama.
“Cara terbaik adalah berinteraksi dengan pemain dan melakukan perancangan bersama untuk perlawanan sebegini,” tambahnya.
Must-Watch Video