Skip to main content

Bola Sepak

City hampir mustahil juarai empat gelaran -- Guardiola

pepguardiola_1.jpg
Pep Guardiola berusaha untuk bersabar membincangkan mengenai empat kejuaraan selepas Manchester City lolos ke final Piala FA dengan mengatasi Brighton and Hove Albion 1-0 di Wembley.

Jaringan pembukaan Gabriel Jesus pada minit keempat mencadangkan mereka mampu mendominasi permainan, sebaliknya bergelut untuk bertahan berdepan Brighton.

Bagaimanapun, mereka memastikan slot ke final di Wembley sementara bakal berdepan Tottenham dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Rabu ini.

Liverpool turut berada dalam prestasi terbaik ketika bersaing untuk meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan peluang City mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu bakal ditentukan menerusi baki enam perlawanan lagi.

Selepas mengharungi perlawanan yang mengecewakan, Guardiola berpandangan ia sebagai bukti merangkul empat gelaran adalah satu usaha yang terlalu sukar.

"Saya akan mengumumkan kepada anda sesuatu -- ia adalah sukar untuk menjuarai empat trofi -- ia seperti satu misi yang mustahil, hampir," kata Guardiola.

"Kekal bersaing hingga peringkat ini adalah sesuatu yang menakjubkan. Pemain-pemain telah melakukan tugas dengan cemerlang," ujarnya.

Daripada tuah menyaksikan Kyle Walker mengelak daripada layangan kad merah kerana cuba untuk menghantuk kepala terhadap Alireza Jahanbakhsh, kepada bertukar pandangan dengan Raheem Sterling di atas padang selepas tamat permainan, Guardiola mengakui persembahan pemain-pemain membuat dirinya gelisah.

Bagaimanapun, dia memuji usaha pemain untuk mengelak daripada melakukan kesilapan.

"Setahun berlalu, apabila anda cenderung untuk bersikap sombong dan bermegah, kami masih lagi bersaing sehingga hari ini.

"Sebab itu apa yang dipamerkan oleh setiap pemain adalah menakjubkan. Kami akan berusaha sehingga perlawanan terakhir musim ini."

Penjaring terbanyak, Sergio Aguero, tidak tampil beraksi di Wembley selepas turut direhatkan ketika City meraih kemenangan ke atas Cardiff City sebelum ini tetapi sudah kembali ke sesi latihan Ahad lalu sebagai persiapan menghadapi Tottenham.

Berita positif buat City ialah apabila Benjamin Mendy menyempurnakan 79 minit pertama permainan selepas menjalani pembedahan lutut November lalu.

"Mendy direhatkan sangat lama," kata Guardiola.

"Dia kembali berlatih satu atau dua minggu yang lalu. Kami menghadapi masalah di bahagian pertahanan.

"Mendy bermain dengan keyakinan dan ia adalah sesuatu yang positif."

Advertisement

Must Watch Video