EPL
City enggan berlengah dalam penambahbaikan
Berat adalah kepala yang di atasnya dipakaikan mahkota dan Manchester City -- pemenang gelaran ‘treble’ dalam musim 2022-23 yang baru berakhir -- sudah mengorak langkah awal untuk meneruskan penguasaan musim depan.
Pep Guardiola, menurut pelbagai laporan, termasuk TEAMtalk, khabarnya sudah mengenal pasti dua pemain berkelas dunia sebagai tambahan kepada skuadnya pada musim panas ini.
Pengurus City itu, yang dijangka dibekalkan limpahan dana untuk berbelanja, dikatakan sudah memulakan gerak kerja terhadap pemain-pemain buruan utamanya, yang menjadikan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara (UCL) itu tumpuan dalam jendela perpindahan.
Iklan
Dibandingkan dengan barisan pemain yang menjulang kejuaraan ‘treble’ itu, skuad The Cityzens harus berwajah baru musim depan, dengan kapten, Ilkay Gundogan, antara yang berpotensi meninggalkan pasukan.
Kontrak pemain berusia 32 tahun itu di Etihad akan berakhir bulan ini. Di sebalik Guardiola sudah menawarkannya lanjutan, sebarang persetujuan tertangguh gara-gara minat yang ditunjukkan Barcelona, Arsenal dan Paris Saint-Germain (PSG) terhadapnya.
Apa pun keputusan membabitkan Gundogan, Man City dijangka akan membuat beberapa tambahan dalam jendela perpindahan, termasuk mendatangkan pemain tengah Chelsea, Mateo Kovacic, yang disebut-sebut antara sasaran pengurus itu.
Juga dikhabarkan City sudah mencapai persetujuan peribadi dengan Kovacic dan apa yang tinggal ialah merundingkan yuran perpindahannya dengan The Blues.
Kovacic bukan satu-satunya pemain antarabangsa Croatia idaman Guardiola, yang turut mengintai peluang mendatangkan bek tengah RB Leipzig, Josko Gvardiol – pemain berusia 21 tahun itu dianggap salah seorang pertahanan muda terbaik di Eropah.

Cuma, The Cityzens harus bersedia dengan tawaran rekod dunia buat seorang pemain pertahanan untuk perpindahannya dimuktamadkan seperti disahkan oleh Fabrizio Romano – seorang wartawan bola sepak Itali yang dianggap sumber terbaik dalam laporan perpindahan pemain -- baru-baru ini.
“Lebih daripada €80 juta (£69 juta/RM400 juta), seorang bek tengah termahal dalam sejarah, inilah yang dibayangkan oleh RB Leipzig,” Romano dipetik sebagai berkata.
“Saya tidak pasti €80 juta atau €85 juta (£73 juta/RM425 juta) akan mencukupi,” katanya sambil sumber-sumber yang rapat dengan Leipzig percaya ia mungkin sekitar €100 juta (£86 juta/RM500 juta) untuk menandatangani Gvardiol musim panas ini.
Wartawan, Ben Jacobs, pula menambah City mempunyai beberapa keutamaan musim panas ini, didahului oleh ikhtiar untuk memastikan Gundogan bersetuju kepada lanjutan kontrak, yang dijangka diketahui sedikit masa lagi.
“Daripada segi perpindahan masuk pula, perhatikan Josko Gvardiol. Satu jumlah dana yang luar biasa akan diperlukan kerana Gvardiol baru dilanjutkan kontraknya dengan Leipzig tahun lalu.
“Semua kelab terhalang minat mereka oleh penilaian Leipzig, iaitu sekurang-kurangnya €100 juta (£86 juta/RM500 juta). Ini bermakna kelab yang mahukannya harus membayar yuran perpindahan rekod dunia, yang sebelumnya dibayar Manchester United kepada Leicester pada tanda harga £80 juta (RM468 juta) untuk Harry Maguire pada 2019.
“Kovacic pula masih dalam lingkungan kemampuan. Dia sudah bersetuju dengan butir-butir peribadi dan keyakinan sangat tinggi ketika ini yang satu yuran perpindahan dengan Chelsea boleh dipersetujui,” tambah Jacobs kepada CaughtOffside.
Ia akan amat menarik untuk dinanti andai Man City mampu memuktamadkan persetujuan untuk kedua-dua bintang Croatia itu.
Jika ditakdirkan ya, The Cityzens akan lebih sukar untuk ditundukkan musim depan.
Must-Watch Video