Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

The City Boys perlu curi kesempatan kepincangan Selangor

yusri-che-lah.jpg
Pengendali Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, menolak andaian kegagalan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) melunaskan dua bulan gaji menjadi punca mereka gagal mengutip sebarang mata setakat ini.

Mungkin tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, Yusry cuba bersikap profesional, namun tidak menyangkal masalah gaji yang membelenggu skuad The City Boys itu.

"Kami sebenarnya tidak mempunyai masalah gaji kerana telah dibayar sebaik mungkin oleh majikan. 

"Cuma, mungkin kualiti pasukan lawan lebih baik daripada kami pada hari pertandingan. 

"Itu yang menyebabkan kami terus dirundung malang," kata bekas pengendali Kelantan itu. 

Yusry mengakui dia bersama pasukan melalui tempoh sukar selain tertekan dengan situasi tanpa mata. 

Barisan bimbingannya bolos 10 jaringan dan hanya menghasilkan dua jaringan selepas empat perlawanan dan akibatnya, terperosok di tangga tercorot liga.

Buat masa ini, KLFA masih memberi kepercayaan kepada Yusri walaupun ada khabar angin yang mengatakan aksi menentang Selangor, Ahad ini sebagai peluang terakhir buat pengendali kelahiran Perlis berkenaan. 

"Saya mengharapkan pemain berjuang sepenuh hati untuk memberikan kemenangan pertama musim ini, terutama menentang Selangor. 

"Kami perlu ambil kesempatan ke atas kepincangan Selangor ketika ini," tambahnya. 

Ironinya, aksi getir itu melibatkan jurulatih yang pernah membimbingnya ketika bersama skuad kebangsaan suatu ketika dulu.

Apapun, mahu tidak mahu, objektif Yusri tidak berganjak demi maruah Kuala Lumpur.


 

Advertisement

Must Watch Video