UCL
Chelsea lemas di Camp Nou
BARCELONA 3 CHELSEA 0
Hasrat Chelsea untuk cuba membenam cabaran Barcelona di tempat lawan lebur apabila skuad kendalian Ernesto Valverde itu mempamer prestasi hebat untuk menang 3-0 di tempat sendiri dalam aksi timbal balik pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Bermain di Camp Nou, Barca melayan kunjungan The Blues selepas aksi di Stamford Bridge sebelum ini terikat 1-1 dan mereka tidak menunggu lama untuk membuatkan Chelsea mula tidak senang duduk.
Iklan
Tatkala aksi baru berusia tiga minit, Lionel Messi meletakkan tuan rumah di depan. Bintang Argentina itu melakukan larian dari sebelah kanan, melakukan hantaran pendek sebelum Luis Suarez membuka ruang untuknya melepaskan rembatan leret ke gawang lawan dari sudut sempit.
Tersentak dibolosi awal, Chelsea cuba mengatur gerakan untuk memburu jaringan penyamaan tetapi Barca sebaliknya terus mengganas apabila menggandakan kelebihan pada minit ke-20.
Kesilapan Cesc Fabregas ketika mengawal bola pantas digunakan Messi untuk menggelecek dua lagi pemain Chelsea sebelum menolak bola kepada Ousmane Dembele, yang diakhiri dengan tendangan padu kaki kanan menewaskan Thibaut Courtois.
Chelsea hampir merapatkan jurang menerusi sepakan percuma Marcos Alonso pada minit ke-45 tetapi sepakannya sekadar singgah ke tepi jaring gol tuan rumah.
Selepas babak pertama tamat dengan kedudukan 2-0, Barca tampak terus bernafsu untuk menambah jaringan dalam separuh masa kedua.
Kombinasi Messi-Suarez semakin menjadi ketika perlawanan memasuki minit ke-63 apabila penyerang Uruguay itu sekali lagi membuka ruang buat bintang Argentina itu untuk melepaskan tendangan kaki kiri melepasi Courtois untuk membuatkan penjaga gol Belgium itu tewas buat kali ketiga.
Walaupun pelawat cuba membawa masuk Alvaro Morata dan Davide Zappacosta, kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, membolehkan Barca menang 4-1 menerusi agregat untuk mengesahkan tempat dalam suku akhir.
Must-Watch Video