Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Chelsea lebih bersatu -- Sarri

maurizio-sarri_.jpg
Maurizio Sarri menegaskan insiden gagal mengeluarkan Kepa Arrizabalaga dalam aksi final Piala EFL, Ahad lalu,  telah membuat Chelsea kini lebih bersatu.

Kepa, yang kelihatan mengalami kecederaan, enggan memberi ruang kepada Willy Caballero untuk menyertai perlawanan dalam masa tambahan ketika aksi final di antara Chelsea dan City berkesudahan seri tanpa jaringan dan skuad bimbingan Pep Guardiola meraih kejuaraan menerusi penentuan sepakan penalti.

Kepa telah memohon maaf secara terbuka dan didenda gaji seminggu oleh kelab sebelum diketepikan Sarri ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Tottenham kelmarin.

Sarri, yang menganggap insiden tersebut sebagai "salah faham", menegaskan Kepa akan kembali dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan seterusnya buat Chelsea, kunjungan ke Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris esok atau berdepan Dynamo Kiev dalam Liga Europa empat hari kemudian.

Chelsea dilaporkan bercadang untuk memecat Sarri selepas gagal merakamkan keputusan positif tetapi tiga aksi tanpa bolos telah mengurangkan tekanan kepada pengendali kelahiran Itali itu.

Dan beliau berasakan insiden Kepa telah memberikan impak positif di dalam bilik persalinan.

"Apabila berlakunya situasi sukar, saya berasakan ia amat sukar buat semua orang," kata Sarri.

"Tetapi ia adalah satu peluang keemasan yang diperlu disambar. Ia bukan satu pengalaman yang baik tetapi memberikan impak positif kepada pasukan.

"Saya berasakan perkara yang berlaku dalam aksi final Piala EFL telah membuat pasukan lebih bersatu. Bagi saya, bersama staf dan pemain-pemain, kami lebih mantap."

Sarri kelihatan mahu meninggalkan Wembley ketika Kepa enggan keluar padang untuk digantikan  tetapi kekal di dalam stadium selepas berjaya menenangkan dirinya.

"Saya hanya memerlukan 30 saat untuk menenangkan fikiran saya. Tetapi saya sangat gembira dengan persembahan pasukan dalam tiga perlawanan yang lepas.

"Kami tewas menerusi penalti tetapi kami bermain dengan baik.

"Saya sangat gembira dengan keputusan tiga perlawanan yang lalu. Kami masih memerlukan aksi konsisten dan mahu meneruskannya hingga tamat musim ini."
 

Advertisement

Must Watch Video