Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Casillas bakal tamatkan karier bersama Porto

ikercasillas.jpg
Iker Casillas berharap akan menamatkan karier bersama Porto selepas menandatangani kontrak dua tahun yang akan mengekalkan dia bersama pasukan tersebut hingga berusia 40 tahun.

Legenda Sepanyol itu memasuki musim keempat di Estadio do Dragao, di mana dia memenangi Primeira Liga dan Piala Super Portugal sejak ketibaannya dari Real Madrid pada Julai 2015.

Pemain berusia 37 tahun itu menganggap kemenangan 1-0 ke atas Benfica di Estadio da Luz, April tahun lalu, menjadi kenangan terbaiknya bersama Porto.

"Hari ini merupakan hari yang istimewa. Saya berasa selesa bersama kelab ini," kata Casillas.

"Apabila mereka memberikan saya peluang untuk memperbaharui kontrak, saya tidak teragak-agak. Saya sedia memberikan komitmen kepada kelab, presiden dan rakan sepasukan.

"Saya mahu kekal hingga mengakhiri karier sebagai pemain.

"Saya memiliki kenangan indah beraksi untuk Porto. Kemenangan di Luz musim lalu merupakan salah satu pencapaian terbaik bersama kelab ini.

"Pada asalnya, saya menjangkakan hanya beraksi di sini setahun dua untuk bersara. Saya sangat bertuah kelab ini sangat menghargai saya."

Presiden Porto, Jorge Nuno Pinto da Costa, menyifatkan Casillas sebagai "tokoh bola sepak dunia" dan berkata pemenang Piala Dunia 2010 itu meneruskan tradisi kelab yang memiliki penjaga gol berkualiti.

"Porto sentiasa memiliki penjaga gol terbaik," katanya.

"Casillas sebaris dengan penjaga gol terbaik kelab dan sentiasa akan kekal sebagai salah seorang yang terbaik di dunia."

Advertisement

Must Watch Video