BUNDESLIGA
Bundesliga: Leverkusen tidak rela masuk jerat Kiel
Xabi Alonso berharap untuk menandakan perlawanan ke-100 mengendalikan Bayer Leverkusen dengan kemenangan tetapi pengurus dari Sepanyol itu tidak memandang rendah kelab tercorot, Holstein Kiel, malam ini.
Alonso mengetuai pasukannya untuk kemenangan ke atas Milan dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan juara Bundesliga itu menjadi salah satu daripada tujuh pasukan yang melakar rekod sempurna dalam pertandingan berkenaan setakat ini.
Namun, nasib mereka dalam liga jauh berbeza yang menyaksikan mereka hanya memungut 10 mata daripada lima perlawanan pembukaan dan yang terbaru berakhir 1-1 dengan Bayern Munich.
Iklan
Permulaan Leverkusen dalam kempen ini adalah yang terburuk oleh mana-mana penyandang juara dalam tempoh 12 tahun lalu sejak Borussia Dortmund mengumpul lapan mata selepas lima perlawanan pertama pada 2012-13.
Begitupun, Alonso yang telah memenangi 67 daripada 99 perlawanan sepanjang mengemudi Die Werkself, berwaspada dengan ancaman yang mampu dicetuskan lawan pada hujung minggu ini di sebalik kedudukan mereka dalam liga.
"Setiap perlawanan liga adalah sukar dan kami sudah pun menempuhinya musim ini," katanya.
Boss. ?? pic.twitter.com/E3H7DWHvR7— Bayer 04 Leverkusen (@bayer04_en) October 4, 2024
"Kami menjangkakan perkara yang sama esok. Mereka sekadar mengutip satu mata tetapi hakikatnya berhak lebih daripada itu.
"Dalam fikiran dan persiapan, kami hanya tumpu kepada Kiel. Kami menghormati mereka sepenuhnya. Mereka adalah lawan yang bagus, pasukan yang sangat fleksibel.
"Saya menjangkakan untuk melihat kematangan dan tindakan bijak anak buah sendiri. Kami perlu membuktikan bahawa kami sudah bersedia sepenuhnya.
"Pasukan saya bermain dengan motivasi yang sama dalam setiap perlawanan, jadi tiada sebab untuk saya meragui mereka dan kami berharap akan membuktikannya."
Must-Watch Video