SERIE A
Buffon geram dikatakan berbalah dengan Benatia
Gianluigi Buffon menafikan khabar angin yang mendakwa hubungannya dengan rakan sepasukan Juventus, Medhi Benatia, keruh dengan menuduh media cuba mengada-ngadakan cerita.
Laporan di Itali mencadangkan kedua-dua pemain terbabit terlibat dalam perbalahan susulan kekalahan 1-0 kepada Napoli pada Ahad lalu yang mengecilkan jurang kelebihan mereka di puncak Serie A dengan hanya satu mata.
Benatia dipersalahkan kerana gagal menghalang Kalidou Koulibaly membuat larian menuju ke gawang pada minit ke-90 untuk gol tunggal perlawanan sementara dua minggu lalu, dia turut menjadi perhatian kerana menghadiahkan penalti kepada Real Madrid, sekali gus menyingkirkan Juve dalam suku akhir.
Iklan
Buffon ditunjukkan kad merah ekoran provokasinya terhadap pengadil, Michael Oliver. Begitupun, penjaga gol veteran itu menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan Benatia dan membantah laporan itu sebagai "gosip palsu".
"Ia cuba menjejaskan suasana dan menjejaskan keyakinan dan perpaduan pasukan," kata Buffon kepada Juventus TV.
"Seperti biasa, ini sesuatu yang sering berlaku sejak saya berada di Juventus, saya berasa terpanggil untuk bercakap secara logik dan tepat.
"Tiada sesiapapun, sekurang-kurangnya dalam tempoh 17 tahun saya di Juventus, bersikap menuding jari kepada rakan sepasukan, menyalahkan mereka atas kekalahan dan ini tidak akan berlaku ketika saya mengetuai pasukan ini.
"Saya ingin menambah, Medhi adalah seorang yang sangat dihormati, sopan, menyumbang kepada kumpulan yang luar biasa ini.
"Saya minta maaf kerana terpaksa membangkitkan perkara ini tetapi saya perlu melakukannya berdasarkan berita tertentu.
"Jika tidak fitnah sekalipun, sekurang-kurangnya ia adalah berita palsu. Saya percaya dengan penjelasan tepat demi melindungi pasukan dan Medhi yang merupakan seorang lelaki yang hebat," katanya.
Walaupun tewas kepada Napoli, Juve kekal di puncak untuk memenangi Scudetto dan bakal beraksi dalam perlawanan akhir Coppa Italia menentang AC Milan.
Sehubungan itu, Buffon berasa terpanggil untuk menyeru perpaduan di antara pemain dan peminat.
"Jika tidak, kami akan terjebak dengan permainan lawan kami. Pada saat-saat sukar, orang gemar mencari berita berat sebelah untuk menimbulkan masalah tetapi tidak pernah berjaya," katanya.
"Buat masa ini, saya mahu pasukan dan dunia Bianconeri bersatu bagi membolehkan kami menempuhi 20 hari seterusnya sebagai pasukan Juventus yang sebenar."
Must-Watch Video