Bekas penyerang import PDRM FC, Bruno Suzuki, mendedahkan bahawa dia akan kembali memeriahkan saingan Liga Malaysia musim depan.

Pemain yang turut pernah menyarung jersi Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC itu memilih untuk meinggalkan kelab Thailand, Bangkok FC, demi kembali beraksi dalam Liga Super Malaysia.

Ditanya mengenai perkara berkenaan, pemain berdarah campuran Brazil-Jepun itu berkata kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Saya meninggalkan Bangkok FC kerana saya mendapat tawaran daripada pasukan Malaysia.

"Kemudian, saya memberitahu pasukan saya di sana dan mereka membenarkan saya untuk menamatkan kontrak selepas separuh musim untuk saya datang ke sini.

"Di Liga Thailand, saya telah menjaringkan lapan gol.

"Sejujurnya, ketika saya di sana, saya amat merindui Liga Malaysia kerana saya sudah lima tahun bermain di sini.

"Saya mahu menunjukkan kepada semua orang bahawa Bruno Suzuki sudah kembali.

"Ramai bertanyakan pasukan mana yang saya akan sertai tetapi ia masih belum rasmi, jadi perlu tunggu dahulu.

"Selepas itu, semua orang akan tahu, jadi ia sudah pasti akan menjadi musim yang baik buat saya," katanya.