Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Boateng, Hummels, Muller tiada lagi dalam perancangan Jerman

germany-cropped_6vd09995n8861o0va4oolpyki.jpg
Pengendali Jerman, Joachim Low, mengesahkan dia tidak lagi akan memanggil trio berpengalaman, Jerome Boateng, Mats Hummels dan Thomas Muller, memandangkan dia mahu menetapkan hala tuju baru bagi tahun 2019.

Muller melakukan penampilan ke-100 buat Die Mannschaft ketika aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Belanda yang berakhir seri 2-2 November lalu, di mana Hummels berada dalam kesebelasan utama tetapi Boateng tidak beraksi sejak kekalahan 3-0 di tangan skuad kendalian Ronald Koeman itu Oktober lalu.

Jerman melalui tahun 2018 dengan penuh liku, disingkirkan di peringkat kumpulan dalam Piala Dunia dan menduduki tangga terbawah saingan peringkat kumpulan Liga Negara-Negara UEFA.

Kejatuhan mendadak itu membuatkan peranan ramai pemain senior dilihat perlu dikurangkan tetapi Low tidak bercadang untuk mengambil langkah itu apabila berkata: "Ia satu langkah besar sekiranya perubahan dilakukan sekarang."

Bagaimanapun, Low telah berubah fikiran dan kini menolak untuk memanggil semula trio Bayern Munich itu di masa akan datang.

"2019 adalah tahun di mana satu permulaan buat skuad kebangsaan Jerman," katanya.

"Kami mahu meneruskan usaha yang bermula sejak hujung tahun lalu. Boateng, Hummels dan Muller tidak akan memperkuatkan skuad Jerman lagi.

"Secara peribadi, penting untuk saya jelaskan kepada pemain serta pengurusan Bayern Munich mengenai pandangan dan perancangan saya.

"Mereka masih pemain bertaraf dunia yang sentiasa mengetuai kelab dan menjanjikan kejayaan.

"Mereka adalah pemain hebat yang berkhidmat serta memacu kejayaan pasukan kebangsaan. Mereka beraksi dalam tempoh lama buat Jerman. Saya berterima kasih kepada Hummels, Boateng dan Muller di atas sumbangan yang telah diberikan.

"Bagaimanapun, penting dalam pasukan untuk menetapkan masa depan. Kami mahu memberikan wajah baru kepada pasukan. Saya yakin ini adalah langkah yang tepat."

Jerman akan berdepan Serbia dalam aksi persahabatan pada 20 Mac ini sebelum memulakan saingan kelayakan Euro 2020 empat hari kemudian menentang Belanda dan Low mencabar barisan muda Die Mannschaft untuk menampilkan era baru.

"Kami memberikan isyarat yang jelas," tambah Low.

"Skuad muda Jerman akan meraih ruang yang diperlukan untuk berkembang. Anda perlu menggalas tanggungjawab itu sekarang."

Pengarah sukan, Oliver Bierhoff, turut menyokong sentimen Low dan berkata sudah tiba masa untuk Jerman melihat masa depan.

"Tugas kami adalah untuk menentukan apa yang terbaik buat pasukan dalam usaha kembali ke puncak dunia," ujar Bierhoff.

"Kini, kami mahu memulakan semula skuad secara konsisten.

"Muller, Hummels dan Boateng telah mencapai perkara hebat dalam bola sepak Jerman dan akan terus melakukannya di peringkat kelab. Saya masih rapat dengan mereka dan berbesar hati dengan tempoh yang mereka berikan buat skuad kebangsaan."

Advertisement

Must Watch Video