Sergio Aguero menyerang jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli, susulan kekalahan 0-3 kepada Croatia awal pagi tadi yang menjejaskan harapan mereka meraih tempat dalam pusingan 16 Piala Dunia Russia.
Argentina hanya memungut satu mata hasil daripada dua perlawanan Kumpulan D selepas Croatia memulakan pesta kemenangan ekoran kesilapan Willy Caballero untuk jaringan Ante Rebic pada minit ke-53.
Aguero dan rakan sepasukannya, Lionel Messi, dibiarkan tidak berdaya di bahagian serangan apabila dibayangi pemain tengah Croatia, Luka Modric dan Ivan Rakitic, seterusnya membawa skuad bimbingan Zlatko Dalic itu ke pusingan kalah mati.
Berikutan kekalahan di Nizhny Novgorod itu, Aguero mempersoalkan ulasan Sampaoli yang menyatakan pemain Argentina gagal menyesuaikan diri dengan perubahan taktiknya.
"Biarkan dia mengatakan apa yang dia mahu," kata Aguero sambil terus angkat kaki.
Bercakap dalam sidang berita pasca perlawanan, Sampaoli mengakui bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan itu yang menyebabkan Argentina berada di ambang kejutan tersingkir awal.
Argentina perlu mengalahkan Nigeria dalam perlawanan akhir Kumpulan D sambil mengharapkan keputusan lain atau berdepan kemungkinan kempen temasya Russia 2018 mereka berakhir awal.
Aguero tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hatinya terhadap barisan pertahanan selepas dimalukan Croatia yang mempamerkan persembahan mengagumkan.
"Saya berasa marah dan sedih," kata Aguero, "walaupun peluang masih ada.
"Kini kami terpaksa bergantung kepada orang lain tetapi masih ada harapan, keajaiban. Kami perlu menunggu dan cuba menewaskan Nigeria."
Penulis Jemputan
Thu Jun 21 2018