Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Bernardo Silva, Aguero hantar Man City ke puncak

aguero.jpg
FULHAM 0 MANCHESTER CITY 2

Gol dalam separuh masa pertama daripada Bernardo Silva dan Sergio Aguero menjulang kemenangan 2-0 Manchester City ke atas Fulham untuk skuad bimbingan Pep Guardiola itu kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi menjelang pertembungan Liverpool dengan Tottenham. 


Kevin De Bruyne kembali mengisi bahagian tengah City setelah pulih daripada kecederaan hamstring untuk kekal mendominasi permainan dan mendahului Liverpool di puncak liga.

Pemangku pengurus The Cottagers, Scott Parker, melihat anak buahnya melakukan kesilapan pada minit kelima yang dihukum jentera serangan City yang klinikal untuk pasukan London itu menempa kekalahan kelapan berturut-turut dalam tempoh setengah jam.

Sebaik wisel awal ditiupkan, City memaksa Fulham untuk berkampung di kawasan sendiri dan menghukum kesilapan pertama tuan rumah apabila De Bruyne memintas hantaran Timothy Fosu-Mensah sebelum Aguero berganding bahu dengan Bernardo Silva untuk menembusi pintu gol yang dikawal Sergio Rico.

Kesilapan berikutnya dicetuskan Joe Bryan apabila kehilangan bola kepada Bernardo Silva dan bola itu segera dilorongkan kepada Aguero yang menggelecek dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan ke sudut atas gawang.

Aguero kemudian digantikan Gabriel Jesus selepas 56 minit sambil City terus galak mengasak dengan rembatan Raheem Sterling dipatahkan Rico manakala Bernardo Silva terlepas untuk menyambar bola muntah itu. 

Kyle Walker nyaris menambah gol ketiga apabila bertukar hantaran dengan Sterling sebelum percubaannya ketika menuju 11 minit baki permainan melewati palang. 

Advertisement

Must Watch Video