ARSENAL 1 BAYERN MUNICH 5 (Agregat 2-10)
Arjen Robben berasakan Bayern Munich gagal menemui rentak permainan pada awal permainan sebelum mereka berpesta gol menyingkirkan Arsenal daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.
Bayern mengulangi kejayaan aksi pertama di Allianz Arena dengan meraih kemenangan 5-1 ke atas Arsenal di Stadium Emirates.
Pasukan tuan rumah mendahului perlawanan hasil jaringan Theo Walcott dalam separuh masa pertama, namun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Laurent Koscielny dibuang padang kerana melakukan kekasaran ke atas Robert Lewandowski.
Penyerang kebangsaan Poland itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-55 sebelum Arjen Robben menggandakan jaringan 13 minit kemudian.
Pemain gantian Douglas Costa, menyumbang satu gol sebelum pemain tengah kebangsaan Chile, Arturo Vidal, menjaringkan dua gol pada penghujung perlawanan.
Walaupun meraih kemenangan bergaya untuk mara ke suku akhir, Robben tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya dalam separuh masa pertama.
"Kami tidak bermain dengan baik dalam separuh masa pertama," katanya kepada BT Sport. "Kami menyedari bahawa Arsenal akan memberikan tekanan kepada kami sejak awal permainan.
"Tetapi kami tidur, gagal mempamerkan aksi yang cemerlang dan kerap kehilangan bola. Kami perlu meningkatkan permainan kami untuk perlawanan akan datang.
"Separuh masa kedua sangat baik buat kami dan kad merah yang dilayangkan kepada Koscielny membantu kami.
Bayern kini mendahului takhta Bundesliga dan mara ke separuh akhir DFB-Pokal, namun Robben enggan berbincang mengenai kejayaan mereka merangkul 'treble' pada tahun 2013 buat masa ini.Robben tucks away his third goal in his last 3 #UCL games against Arsenal ⚽️3️⃣ pic.twitter.com/lDCYeqUwRj
— Champions League (@ChampionsLeague) March 7, 2017
"Kami perlu menghadapi perlawanan demi perlawanan. Saya tidak gemar bercakap mengenai perlawanan akhir.
"Jika anda lihat semua pasukan yang mara ke suku akhir, mereka mampu menggugat kami."