Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Bayern akan kekalkan kedudukan di puncak

lewandowski.jpg
BAYERN MUNICH 6 WOLFSBURG 0

Niko Kovac melancarkan amaran kepada Borussia Dortmund selepas Bayern Munich merampas takhta Bundesliga dengan kemenangan 6-0 ke atas Wolfsburg, awal pagi tadi. 


Dortmund memimpin saingan berkenaan sejak September lalu tetapi kemenangan 3-1 BVB ke atas pasukan bergelut, Stuttgart, di tempat sendiri tidak cukup untuk mengekalkan kedudukan teratas. 

Robert Lewandowski meledak dua kali manakala Serge Gnabry, James Rodriguez, Thomas Muller dan Joshua Kimmich turut melakar nama sebagai penjaring ketika membenam Wolfsburg.

Kemenangan bergaya Bayern itu bermakna mereka mengatasi Dortmund menerusi perbezaan gol dengan saingan berbaki sembilan perlawanan lagi.

Kovac, yang berada di bawah tekanan pada awal kempen tetapi kembali meletakkan Bayern meniti landasan tepat, berasakan Bayern sepatutnya mencatat kemenangan lebih besar.

"Saya sangat gembira dengan perlawanan ini. Saya sangat menyukai corak permainan ini dan kami tidak pernah tergugat," kata Kovac selepas kemenangan ke-12 pasukannya dalam 13 perlawanan Bundesliga.

"Kami boleh dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol lagi. Ini adalah rentetan aksi yang baik selepas kemenangan 5-1 ke atas Borussia Monchengladbach, minggu lalu.

"Kami kini berada di mana kami mahu berada, iaitu di puncak liga -- kami mahu kekal di puncak tetapi belum ada apa-apa jaminan memandangkan masih ada banyak perlawanan untuk diharungi."

Bekas pemain Bayern, Bruno Labaddia, hanya mampu menyaksikan kelincahan pemain gantian, Franck Ribery, mencipta tiga gerakan gol untuk merakamkan rekod Bundesliga.

Lewandowski turut melangkaui jumlah gol bekas pemain Bayern, Claudio Pizarro, sebagai pencetak gol bukan berbangsa Jerman yang paling produktif dalam sejarah Bundesliga melalui 196 jaringan tatkala Bayern membuat persiapan menjelang pertemuan dengan Liverpool dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL). 

Labaddia, yang kini tewas 15 perlawanan terakhirnya menentang Bayern selaku pengurus dan merupakan rekod dalam Bundesliga, tidak mempunyai alasan mengapa anak buahnya beraksi longlai selepas mempamerkan prestasi menarik kebelakangan ini.

"Kami tidak perlu membincangkannya," katanya. "Kita telah melihat sendiri bahawa Bayern sangat ampuh dan kami lemah, keputusan ini adalah adil.

"Banyak gerakan tidak berlangsung seperti biasa, keseluruhannya kami tidak berfungsi dengan baik dan kami perlu telan hakikat itu walaupun ia amat memeritkan."

Advertisement

Must Watch Video