UEL
Barcelona bukan idaman Jovic, kata ayahnya
Luka Jovic tidak berminat untuk menyertai Barcelona, dedah bapa penyerang berkenaan.
Jovic menyumbat 24 gol buat Eintracht Frankfurt musim ini dan penggempur berusia 21 tahun itu meletakkan dirinya sebagai salah satu prospek paling hangat di Eropah.
Dipancing ke Bundesliga daripada Benfica, Eintracht dilaporkan mempunyai pilihan untuk menandatangani Jovic dengan nilai €7 juta (RM32.62j) pada akhir musim ini, satu klausa yang dijangka akan dicetuskan.
Iklan
Namun, Barcelona dikatakan bersedia dengan tawaran sebesar €50j (RM233j) buat kelibat Jovic sebagai pengganti jangka panjang kepada Luis Suarez yang boleh menawarkan Eintracht peluang untuk meraih keuntungan besar.
Bagaimanapun, bapa pemain antarabangsa Serbia itu berkata perpindahan ke LaLiga tidak menarik perhatian anaknya di peringkat ini berikutan gusar berdepan kekangan tempoh permainan.
"Luka menerima banyak tawaran, salah satunya adalah daripada Barcelona," Milan Jovic memberitahu Bild.
"Begitupun, buat masa ini dia tidak berminat dengan tawaran itu. Dia tidak pasti sekiranya dia akan beraksi kerap di sana.
"Dia mahu terus dalam berada kancah Bundesliga dan layak ke Liga Juara-Juara (UCL) bersama-sama Eintracht.
"Beberapa hari lalu, dia berkata kepada saya, 'ayah, saya tidak bimbang tentang wang, saya mahu bermain bola sepak'."
Eintracht menduduki tangga keempat Bundesliga dengan kelebihan empat mata di atas Borussia Monchengladbach dalam perlumbaan tiket UCL.
Jovic secara terbuka menyatakan bahawa dia mahu kekal di Eintracht seandainya mereka layak ke UCL tetapi bapanya akur kelab itu mungkin akan tergoda untuk menjana kewangan jika mereka gagal.
"Luka tidak mahu menentang keharmonian pasukan," kata bapanya lagi.
"Kalau kelab itu berkata 'kami perlu menjana wang ke atas anda', maka anak saya tidak akan menentang kepentingan kelab."
Tujuh gol Jovic menghantar Eintracht ke suku akhir Liga Europa, namun mereka tumbang dalam kunjungan ke Lisbon, Portugal, awal pagi tadi apabila tewas 2-4 kepada Benfica dalam pertemuan pertama.
Must-Watch Video