LALIGA
Barca harus terbitkan rasa gerun lawan
Dalam visi pengurus Barcelona, Xavi, barisan penyerang skuad Blaugrana itu pada musim baru ini bakal dibarisi enam pemain yang cukup berbahaya di posisi masing-masing, berpandukan formasi 4-3-3.
Sayap kiri akan diisi oleh Ansu Fati atau Ousmane Dembele, sayap kanan oleh Ferran Torres atau Raphinha manakala bahagian penyerang tengah diisi oleh Pierre-Emerick Aubameyang atau Robert Lewandowski.
Setakat ini, rancangan itu tampak bakal menjadi kenyataan.
Iklan
Dembele telah menandatangani kontrak baru manakala Raphinha dan Lewandowski telah memaklumkan persetujuan untuk menyertai Barcelona dan sedang menanti untuk diumumkan secara rasmi.
Namun, biarpun Barcelona cukup ligat dalam jendela perpindahan ketika ini, sama seperti Chelsea, perbezaan utama di antara mereka adalah kekukuhan faktor kewangan.
Disebabkan oleh sifat boros dan kecemerkapan bekas presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, kelab itu kini menanggung hutang sebesar €1.35 bilion (RM6.1 bilion).
Demi mendaftarkan pemain-pemain yang baru dibeli dan mematuhi peraturan La Liga, pelbagai tindakan harus diambil pada kadar segera demi memastikan aspek kewangan mereka berada pada aras stabil.
Menurut laporan The Daily Mail, Barcelona telah bersetuju untuk menjual 10 peratus hak siaran televisyen mereka kepada firma pelaburan Amerika Syarikat, Sixth Street Partners, serta turut menjual hak pelesenan dan barang dagangan milik kelab.
Keputusan itu dijangka bakal mendatangkan wang sebanyak hampir £175 juta (RM927 juta).
Tidak cukup dengan itu, pemain-pemain tertentu turut harus dijual, terutama pemain yang agak tinggi gajinya.
Gara-gara inilah laporan pelbagai sumber media mengatakan bahawa Frenkie De Jong, pemain yang meraih gaji paling tinggi dalam skuad Barcelona ketika ini, terpaksa dijual, dengan Manchester United dikhabarkan menjadi pilihan utama.
Bagaimanapun, kesahihan laporan ini tidak dapat dipastikan sepenuhnya kerana pelbagai reaksi berbeza diperoleh sejak berminggu-minggu yang lalu.
Presiden Barcelona yang terkini, Joan Laporta, tegas menyatakan yang Frenkie tidak akan dijual, dan ejen Frenkie, Ali Dursun, dilaporkan telah menghantar mesej yang serupa kepada Ketua Pengarah Eksekutif United, Richard Arnold, dan pengarah bola sepak United, John Murtough, yang sanggup berkunjung ke Sepanyol demi memastikan perpindahan Frenkie dijayakan.
Ura-ura tentang perkara ini berterusan disiarkan hari demi hari, dan setakat ini, kebenarannya masih belum pasti.

Tidak kira apapun, usaha Barcelona dalam merombak semula kelab mereka musim ini seharusnya dipuji, terutama dalam perjuangan mereka mendapatkan Lewandowski daripada Bayern Munich yang cukup berdegil untuk melepaskan pemain itu.
Tarikh akhir pendaftaran pemain La Liga masih berbaki sebulan, tetapi dalam tempoh tersebut, Barcelona diramalkan dapat menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu sekian lama.
Apa yang bakal kita lihat pada permulaan musim adalah satu skuad baru yang menggerunkan dan mampu kembali memberikan cabaran sengit kepada seteru tradisional, Real Madrid, sekali lagi.
Must-Watch Video