LALIGA
Bantu Espanyol elak penyingkiran kejayaan terbesar Pochettino
Mauricio Pochettino mendedahkan kegembiraan terhebat baginya sebagai jurulatih adalah ketika membantu Espanyol mengelak daripada penyingkiran, bukan memimpin kemenangan Tottenham ke atas Manchester City.
Pochettino mengemudi Spurs melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dalam aksi penuh dramatik di Stadium Etihad, awal pagi tadi.
Walaupun tewas 4-3, mereka mengikat skuad bimbingan Pep Guardiola itu 4-4 secara agregat dan mara menerusi kelebihan gol di tempat lawan.
Iklan
Bagaimanapun, Pochettino berpendapat usahanya membantu Espanyol kekal dalam saingan LaLiga pada musim 2008-09 ketika bertindak sebagai jurulatih buat kali pertama merupakan saat yang paling menggembirakannya.
"Kejayaan paling manis buat saya sebagai jurulatih ialah ketika di Almeria apabila memastikan Espanyol tidak tersingkir daripada LaLiga," kata Pochettino.
Jaringan Fernando Llorente pada minit ke-73 menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan, awal pagi tadi.
Pada penghujung permainan, City telah diberikan peluang untuk memenangi perlawanan menerusi jaringan hatrik Raheem Sterling, tetapi ia dibatalkan kerana Sergio Aguero berada dalam kedudukan ofsaid.
"Apabila Sterling menjaringkan gol, saya kelihatan berubah menjadi 'The Incredible Hulk'.
"Saya membuka jaket dan mencampakkannya ke bawah... kemudian baru saya mengetahui VAR telah membatalkan jaringan tersebut.
"Pada ketika itu, saya seperti dibangkitkan semula," ujarnya.
Spurs seterusnya akan berdepan Ajax dalam separuh akhir.
Must-Watch Video