Skip to main content

Bola Sepak

Australia tersingkir gara-gara gagal lunas peluang

jamestroisi-cropped_1d62bc4m59kxh1jz3ligh6bsm0_2.jpg
Ange Postecoglu berikrar untuk terus mengekalkan corak permainannya meskipun Australia tersingkir daripada saingan Piala Konfederasi selepas diikat seri 1-1 dengan Chile, malam tadi.

The Socceroos mempamerkan aksi mantap di Moscow, menguasai sebahagian besar perlawanan berdepan juara Amerika Selatan itu, namun kegagalan melakar kemenangan dengan perbezaan dua gol menafikan hak mereka untuk berdepan Portugal dalam separuh akhir.

Harapan Australia menggunung apabila James Troisi meledak gol pembukaan di hujung babak pertama sebelum jaringan penyamaan Martin Rodriguez dalam babak kedua membawa Chile ke separuh akhir.

Postecoglu sering menyuarakan niatnya untuk terus mengubah falsafah bola sepak Australia daripada sebuah pasukan yang menekankan corak fizikal kepada satu skuad yang mengutamakan permainan hantaran pendek.

Secara keseluruhan, idea Postecoglu menjadi di Stadium Spartak dan meskipun gagal mara, pengendali itu berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

"Saya sering berkata bahawa kami akan mara ke Piala Dunia. Akan capai satu tahap saya mungkin digantikan dan kamu (pihak media) akan berasa gembira. Tetapi sehingga saat itu tiba, saya akan meneruskan apa yang saya lakukan sehingga kini.

"Kami akan meneruskan corak ini, tidak kira siapa pun lawan kami."

Postecoglu menyifatkan mereka sekadar terlepas peluang untuk melangkah ke separuh akhir.

"Mereka sebuah pasukan yang hebat dan kami berdepan beberapa pasukan terbaik dunia," tambahnya.

"Tetapi kami terlepas peluang. Pada awalnya sasaran kami adalah untuk mara ke peringkat seterusnya tetapi melihat kepada negara yang membarisi Kumpulan B, kami berjaya memberikan tentangan.

"Itu sahaja cukup membuktikan bahawa kami mampu kekal konsisten di tahap tertinggi. Kami mendapat peluang untuk mempamerkan kekuatan sebenar.

"Saya memuji cara Chile bermain bola, mereka berjaya membentuk pemain yang hebat dan tidak pernah mengambil langkah ke belakang, tidak kira siapa pun lawan mereka.

"Itu yang kami mahukan, kami mahu membentuk pasukan seperti itu.

"Bagi saya, kami bermain lebih baik malam ini dan sepatutnya mendapat tiket ke separuh akhir. Saya tidak melihat ini sebagai satu kemajuan sebaliknya, segala-galanya sudah dijangkakan. Kami mahu menguji pasukan ini berdepan pasukan terbaik dunia. 

"Kami masih belum mencapai tahap terbaik tetapi kami kekal di landasan tepat.

"Langkah terakhir kami adalah memastikan pemain kekal beraksi di tahap terbaik. Perbezaan ketara di antara pemain saya dan pemain pasukan lain adalah di mana mereka beraksi di peringkat kelab.

"Kami tidak jauh daripada sasaran untuk membentuk pasukan yang mantap tetapi kami perlukan pemain beraksi di tahap tertinggi secara konsisten."

Postecoglu turut sempat melontarkan pujian kepada pemain berusia 37 tahun, Tim Cahill, yang mempamerkan aksi mantap dalam penampilan ke-100 bersama pasukan itu sebelum dikeluarkan selepas hampir sejam beraksi.

"Dia kekal pemain yang penting buat kami, terutama pada awal permainan," kata Postecoglu. "Dia tidak akan gentar meskipun berhadapan lawan seperti Arturo Vidal serta Alexis Sanchez.

"Perwatakannya membuat pemain lain juga hilang rasa gentar.

"Dia memiliki keazaman yang tinggi dan itu adalah tanda seorang pemain yang hebat. Kami mahukan perlawanan hari ini menjadi lebih bermakna buatnya tetapi kami gagal."

 

Advertisement

Must Watch Video