Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Aset Abramovic dibekukan, penjualan kelab Chelsea ditangguh

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

roman-abramovich_1wb2x0ec4q64c1ibgtxa3jgc1e.jpg
Pemilik Chelsea, Roman Abramovich, adalah salah seorang daripada tujuh oligarki Russia yang disekat oleh kerajaan United Kingdom semalam.

Abramovich telah dibekukan asetnya dan tidak dapat meneruskan usahanya untuk menjual The Blues, dengan keputusan itu dibuat berikutan pencerobohan berterusan Russia ke atas negara jiran, Ukraine.

Chelsea telah diberikan lesen sukan khas untuk usaha berdagang sebagai sebuah kelab bola sepak, tetapi langkah telah dikenakan ke atas kelab itu termasuk larangan menjual tiket, dengan hanya pemegang tiket musim dibenarkan menghadiri perlawanan.

Kenyataan daripada kerajaan UK menambah: "Memandangkan kesan ketara sekatan hari ini terhadap Kelab Bola Sepak Chelsea dan potensi kesan akibatnya, kerajaan pagi ini telah menerbitkan lesen yang membenarkan beberapa aktiviti berkaitan bola sepak untuk teruskan di Chelsea.

“Ini termasuk kebenaran untuk kelab itu meneruskan perlawanan dan aktiviti berkaitan bola sepak lain yang seterusnya akan melindungi Liga Perdana Inggeris, piramid bola sepak yang lebih luas, peminat setia dan kelab lain.

"Lesen ini hanya akan membenarkan tindakan tertentu yang dinamakan secara jelas untuk memastikan individu yang ditetapkan tidak dapat memintas sekatan UK.

"Lesen itu akan sentiasa disemak dan kami akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bola sepak."

Tindakan itu menyaksikan aset Abramovich dibekukan, larangan transaksi dengan individu dan perniagaan UK, larangan perjalanan dan sekatan pengangkutan dikenakan.

Kerajaan UK menambah bahawa Abramovich, yang nilai bersihnya dilaporkan berada dalam lingkungan GBP9.4 bilion, adalah 'salah satu daripada segelintir oligarki dari 1990-an yang mengekalkan kemasyhuran di bawah pimpinan Putin'.

Abramovich sebelum ini pernah bergambar dengan presiden Russia, Vladimir Putin, dan walaupun dikatakan lelaki berusia 55 tahun itu tidak terlibat dalam politik, jurucakap pemilik The Blues mencadangkan kepada Persatuan Akhbar bahawa dia 'cuba membantu' mencapai penyelesaian damai kepada konflik di Ukraine.

Advertisement

Must Watch Video