Usaha Arsenal untuk memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 2004 berada dalam bahaya namun Mikel Arteta tetap bertegas bahawa pendahulu liga itu boleh mengatasi tekanan perebutan kejuaraan.
Pasukan kendalian Arteta mendahului dua gol untuk perlawanan kedua berturut-turut ketika West Ham membalas untuk menyambar keputusan seri 2-2 di Stadium London semalam.
Selepas mensia-siakan kelebihan yang sama dalam keputusan seri 2-2 di Liverpool hujung minggu lalu, The Gunners sekali lagi dihukum keciciran dua mata apabila berada di petak pertama untuk memastikan kemenangan.
Walaupun Arsenal berada empat mata di hadapan Manchester City di tempat kedua, juara bertahan itu memiliki kelebihan satu perlawanan serta momentum menuju ke minggu-minggu terakhir perebutan gelaran.
Dengan perlawanan di tempat sendiri menentang Arsenal semakin hampir pada 26 April, City mengetahui mereka akan dinobatkan sebagai juara jika mereka memenangi lapan perlawanan terakhir mereka.
Bagi Arsenal, anak buah Pep Guardiola sudah menewaskan mereka dua kali musim ini, menang 3-1 di Stadium Emirates dalam aksi liga pada Februari, hanya beberapa minggu selepas menyingkirkan Gunners daripada Piala FA dengan kemenangan 1-0 di Manchester.
Ketika Arsenal tidak lagi mengawal nasib mereka sendiri menjadi satu perkara yang cukup pahit untuk ditelan Arteta setelah lama berada di puncak liga musim ini.
Arteta mengakui kegagalan Arsenal mengawal kelebihan ketika bertemu West Ham dan Liverpool adalah punca daripada kesilapan mereka sendiri, dengan pengendali Sepanyol itu amat kecewa dengan cara pemainnya mengambil mudah kedudukan yang baik mereka semalam.
Tetapi dia enggan menerima bahawa ketegangan dikejar tanpa henti oleh City yang mencetuskan keputusan buruk itu.
"Saya pasti ia bukan tekanan. Kami cuma gagal meneruskan momentum serta hilang fokus pada masa itu," katanya.
"Ia sangat berbeza dengan Liverpool daripada segi corak permainan. Tetapi itu adalah peringkat seterusnya, anda perlu bermain dengan tujuan yang sama apabila mendahului 2-0.
"Anda perlu mempunyai lebih ketenangan untuk menamatkan permainan. Apabila anda menurunkan intensiti anda dengan begitu cepat, ia akan membuka ruang buat pasukan lawan."
Sebelum pertemuan dengan City, Arsenal menerima kunjungan Southampton pada hari Jumaat.
Ammar Hakim
Mon Apr 17 2023