Arsenal meneruskan memberikan tekanan buat penyandang juara, Manchester City dan pendahulu Liverpool dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah West Ham United, 6-0 semalam.

Skuad kendalian Mikel Arteta menghadirkan corak permainan yang bertenaga dalam separuh masa pertama di Stadium London, dengan menjaringkan empat gol.

William Saliba (minit ke-32), Bukayo Saka (minit ke-41), Gabriel (minit ke-44) dan Leandro Trossard (minit-47) memastikan pasukan pelawat ke bilik persalinan dengan kedudukan 4-0.

Tuan rumah cuba menghadirkan tentangan dalam separuh masa kedua, namun ia tidak merencatkan pergerakan Arsenal yang terlalu unggul melebarkan jaringan sekali lagi menerusi Saka sebelum bekas bintang West Ham United, Declan Rice menambah kebolosan tuan rumah dengan gol minit ke-65.

Tiga mata diraih di laman Hammers itu membenarkan Gunners terus menghimpit The Citizens dan The Reds dengan 52 mata selepas mengharungi 24 perlawanan.

Manchester City pula di kedudukan kedua kurang satu perlawanan mengumpul 52 mata manakala Liverpool masih gah memimpin liga dengan 54 mata lebih satu perlawanan.