Pengurus Liverpool, Arne Slot, menegaskan dia berminat untuk mengukuhkan skuadnya selepas dua perlawanan persahabatan pramusim mereka di Anfield.

The Reds merupakan satu-satunya kelab Liga Perdana Inggeris (EPL yang masih belum membuat pembelian dalam jendela perpindahan setakat ini meskipun berterusan dikaitkan dengan perpindahan untuk pemain Real Sociedad, Martin Zubimendi.

Peralihan Slot sebagai pengganti Jurgen Klopp tampak berjalan lancar apabila memenangi tiga daripada lima perlawanannya selain dua seri sejak memegang tampuk pengurusan.

Yang terbaru datang dalam penampilan sulungnya di Anfield apabila memastikan kemenangan 4-1 ke atas Sevilla diikuti dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Las Palmas dalam perlawanan tertutup.

Biarpun yakin pembelian akan berlaku di Merseyside, dia segera mengakui bahawa telah mewarisi skuad sedia ada yang ampuh.

"Saya fikir kelab seperti kami ini sentiasa merancang untuk memantapkan skuad. Tetapi ia tidak begitu mudah berdasarkan kedua-dua perlawanan terakhir," katanya.





"Saya sudah berkata banyak kali bahawa saya telah mewarisi pasukan yang sangat mantap dan jika kami mampu menguatkan skuad sekiranya mahu. Tetapi hanya jika kami fikir kami boleh dan jika ia boleh diteruskan.

Kedua-dua perlawanan di Anfield itu menyaksikan pemain pasukan utama yang mengharungi Copa America dan EURO 2024 kembali beraksi.

Tonggak seperti Virgil Van Dijk, Trent Alexander-Arnold dan Darwin Nunez kesemuanya sempat memainkan peranan, namun Slot tidak begitu khuatir mengenai tahap kecergasan anak buahnya.

"Tidak, sebaik-baiknya kami akan memilikinya dari awal, semuanya," tambahnya.

"Pemain seperti Virgil van Dijk dan yang lainnya yang dikeluarkan selepas 60, 70 minit permainan mampu beraksi penuh. Tetapi saya gembira, jika anda melihatkan situasinya.

"Pemain-pemain ini perlu diberikan cuti, ramai daripada mereka kembali dalam keadaan bagus. Dan mereka yang saya miliki sejak awal kekal cergas sepanjang masa.

"Ya, gembira dengan tahap kecergasan yang dimiliki pasukan selain bebas daripada kecederaan. Otu adalah perkara penting dalam pramusim."