Skip to main content

Bola Sepak

Arif Aiman buktikan anak Malaysia juga mampu gegar Asia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

aroif.jpg

Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai bintang bola sepak tempatan yang berkelas dunia apabila berjaya menempatkan diri dalam senarai tiga calon akhir Anugerah Pemain Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2025.

Tonggak kebanggaan Harimau Malaya dan JDT berusia 23 tahun itu kini sebaris dengan nama-nama besar Asia seperti bintang Qatar, Akram Afif yang beraksi bersama Al-Sadd serta pemain sensasi Arab Saudi, Salem Al Dawsari dari kelab gergasi Al-Hilal.

Advertisement

Pencapaian tersebut bukan sahaja mengangkat nama Arif Aiman, malah mencatat sejarah baharu dalam bola sepak Malaysia apabila beliau menjadi pemain pertama negara yang berjaya menembusi senarai akhir anugerah paling berprestij di pentas Asia itu.

Majlis AFC Awards Riyadh 2025 yang bakal berlangsung pada 16 Oktober depan di Riyadh, Arab Saudi pastinya akan menjadi tumpuan peminat bola sepak seluruh rantau.

Jika Arif Aiman berjaya mengatasi dua pencabarnya, ia akan menjadi detik emas yang mengubah landskap bola sepak negara.

Kejayaan penyerang lincah itu menembusi kelompok elit Asia tidak hadir dengan mudah. Arif Aiman tampil cemerlang bersama JDT yang terus mendominasi saingan domestik, selain mempersembahkan aksi meyakinkan dalam kejohanan peringkat Asia.




 

Lebih penting, sumbangannya bersama skuad kebangsaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa semakin menonjol, sekali gus menjadikan namanya sinonim dengan kebangkitan bola sepak Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Apa yang dicapai Arif Aiman merupakan mesej jelas kepada seluruh rantau bahawa pemain Malaysia juga mampu bersaing di pentas lebih besar. Pada ketika Asia sering dipenuhi nama-nama gah dari Asia Barat, Jepun, Korea Selatan dan Iran, kelibat pemain tempatan seperti Arif Aiman membuktikan bakat dari Malaysia tidak wajar dipandang enteng.

Jika beliau berjaya membawa pulang trofi Pemain Terbaik AFC, ia bukan sekadar kejayaan individu sebaliknya menjadi inspirasi buat generasi baharu pemain muda Malaysia. - Sinar Harian

Topik Berkaitan

Must Watch Video