Skip to main content

Bola Sepak

Araujo tidak gentar saingan sengit rebut tempat di Barcelona

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

araujo.jpg

Ronald Araujo mengalu-alukan persaingan untuk merebut tempat di Barcelona di tengah-tengah spekulasi berterusan mengaitkan Jules Kounde akan menyertai Blaugrana.

Barca telah pun menandatangani Andreas Christensen, Franck Kessie dan Raphinha di sebalik menghadapi masalah kewangan dihadapi kelab LaLiga itu.

Pasukan kendalian Xavi itu turut membawa masuk bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski, ke Camp Nou. 

Ousmane Dembele juga telah menandatangani lanjutan kontrak dengan Barca tetapi Blaugrana nampaknya akan terus berbelanja dengan gergasi Catalan itu dilaporkan makin hampir melengkapkan perpindahan Kounde daripada Sevilla.

Chelsea dan Manchester City turut dikaitkan dengan pertahanan tengah Perancis itu tatkala pengurus Sevilla, Julen Lopetegui, kelihatan pasrah untuk kehilangan tonggak utamanya tersebut. 

 
Dengan Gerard Pique, Eric Garcia, Christensen dan Kounde berpotensi menjadi pesaing, Araujo berikrar mencurahkan yang terbaik untuk bersaing sambil mengalu-alukan sebarang penambahan muka baru dalam skuad Xavi itu.

Ditanya mengenai Kounde selepas latihan dalam jelajah pra-musim Barca di Amerika Syarikat, pemain antarabangsa Uruguay itu menjawab: "Dia adalah seorang pemain yang hebat; kehadiran pemain terbaik di Barca adalah bagus buat pasukan.

“Mereka tahu apa yang saya mampu sumbangkan, ciri-ciri yang saya ada; apa yang saya tuntut ialah kami mempunyai pasukan yang terbaik.

"Persaingan dalam bola sepak sentiasa bagus kerana ia mendorong anda berusaha menghasilkan yang terbaik dan pemain yang baru tiba juga boleh menyumbang. 

"Saya selalu mengatakan bahawa saya mahukan yang terbaik buat Barca dan mereka menambah anggota pasukan."

Advertisement

Must Watch Video