Skip to main content

Bola Sepak

Annuar mohon KAFA rehatkan Fajer

annuar-musa.jpg
Selepas The Red Warriors (TRW) dibelasah 4-0 oleh Selangor, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, menggesa ketua jurulatih, Fajer Ibrahim, direhatkan serta-merta.

Annuar, dalam tulisan terbaru melalui media sosial, hairan bagaimana Fajer boleh menurunkan pemain yang masih mentah sedangkan pemain berpengalaman dipinggirkan.

"Melihat prestasi pasukan, rasanya ketua jurulatih pasukan Kelantan sudah boleh diminta berehat. Secara keseluruhan, prestasi semalam bukan lagi TRW.

"Pemain tempatan yang ada sangat rendah tahapnya dan tiada jeneral dalam pasukan. Saya hairan macam mana jurulatih boleh turunkan pasukan seperti ini sedangkan pemain berpengalaman kita simpan di peti sejuk dan ada yang dijual. Saya nampak usaha membina semula pasukan amat sukar," katanya.

Annuar, yang pernah memimpin KAFA selama 10 tahun, juga mempersoalkan kegagalan persatuan itu menggunakan peluang membawa masuk pemain yang berkualiti dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) yang berakhir hari ini.

"Saya juga hairan kenapa pintu perpindahan kedua tidak diguna untuk perbaiki pasukan dengan membawa import yang berkualiti. Mengapa Dong dan Gomis hilang? Piya di mana?

"Segera bawa masuk import ASEAN yang bagus. Seorang penyerang dan pemain tengah yang berkualiti. Ini boleh mengubah keadaan. Kurangkanlah konflik dalaman dan urus pasukan secara profesional. Masa belum terlambat," katanya.

Kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super menyebabkan peminat TRW semakin hilang sabar dan mendesak Presiden KAFA, Bibi Ramjani IIias Khan, melakukan sesuatu supaya Kelantan tidak tersingkir ke saingan Liga Perdana, musim depan.

Kelantan juga berdepan tugas berat untuk bangkit apabila dijadual menentang Kedah di Stadium Darulaman, Selasa ini.

Advertisement

Must Watch Video