LIGA SUPER MSIA
Annuar mahu Bibi Ramjani cepat bertindak
Ekoran kecaman bertalu-talu yang dilemparkan ke atas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akibat prestasi kurang memuaskan, Tan Sri Annuar Musa menasihatkan presidennya, Bibi Ramjani IIias Khan, mencari formula terbaik bagi menyelamatkan The Red Warriors (TRW) daripada tersingkir daripada Liga Super.
Annuar, dalam hantaran terbarunya melalui media sosial, berkata sesuatu perlu segera dilakukan memandangkan Kelantan sudah hilang cengkaman dan tidak lagi dihormati lawan biarpun TRW pernah dilabelkan antara gergasi utama bola sepak negara.
“Bagaimanapun, memang benar BBR (Bibi Ramjani) perlu segera lakukan sesuatu sebab TRW sudah hilang karakter dan imej asalnya. Tapi kita belum terlambat. KAFA mesti pastikan TRW tidak turun ke Liga Perdana kerana saya bina TRW untuk menjadi jenama dalam Liga Super,” katanya.
Iklan
Annuar, yang pernah memimpin KAFA selama 10 tahun, berkata dia mengambil inisiatif menghubungi pengurusan KAFA bagi memberi sokongan selepas melihat prestasi semasa TRW yang kurang menggembirakan.
“Saya sudah hubungi pengurusan. Saya sekadar mahu TRW bangkit tapi saya tentunya tak boleh campur. Sekadar membantu dan memberi dorongan. Kita anak Kelantan, kumpulan kita jangan pecah dan membuat onar yang boleh menjejaskan persatuan.
“Insya-Allah, TRW akan bangkit semula,” katanya.
Dalam entri terbaharu itu juga, Annuar menasihatkan KAFA supaya segera membawa masuk penyerang import yang baik dan mampu menjadi mesin gol yang digeruni lawan bagi mengharungi baki Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
“Segera bawa penyerang import yang bagus (boleh menjadi mesin gol). Dapatkan segera kuota ASEAN. Patrich Wanggai (Indonesia) boleh. Pemain Vietnam boleh. Tapi, pemain yang mempunyai kekuatan kaki kiri menjadi keutamaan.
“Pemain tengah kreatif sangat perlu. Pemain muda yang ramai memerlukan segelintir pemain berpengalaman untuk menjadi tulang belakang. Macam sekarang banyak bermain gheng (gunakan tenaga) tetapi kurang guna palo (akal) perlu diperbaiki,” katanya.
Must-Watch Video



