BOLA SEPAK
Ancelotti akur kehebatan Hoffenheim dalam kekalahan Bayern
HOFFENHEIM 1 BAYERN 0
Carlo Ancelotti berasakan Bayern Munich terperangkap dengan kemuncak prestasi Hoffenheim selepas pendahulu Bundesliga itu tumbang buat kali kedua musim ini.
Andrej Kramaric menjaringkan gol tunggal perlawanan pada pertengahan babak pertama, dan tuan rumah sepatutnya boleh menang lebih besar berikutan menguasai permainan dalam tempoh 45 minit awal.
Iklan
Bayern memperkemaskan aksi mereka dalam babak seterusnya, bagaimanapun mendapati sukar mendapatkan jaringan penyamaan -- kekalahan pertama mereka sepanjang sejarah 18 pertemuan kedua-dua pasukan.
"Tahniah buat Hoffenheim. Kami agak terkejut dengan corak persembahan mereka dan kami agak kelam-kabut ketika bertahan," kata Ancelotti kepada laman sesawang rasmi kelab itu.
"Perlawanan ini agak tegang. Aksi babak awal kami tidak begitu bagus. Kami memperbaikinya selepas itu dan lebih agresif. Kami memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan.
"Tapi, ada hari-harinya, semuanya tidak menjadi, itulah bola sepak."
Arjen Robben turut mengulangi alasan Ancelotti dengan mengakui Bayern terpaksa membayar harganya ekoran permulaan lembab yang menyebabkan mereka dibolosi buat julung kalinya dalam tempoh enam perlawanan.
Robert Lewandowski hampir menggegar gawang tetapi percubaan penggempur Poland itu sekadar menggegar palang ketika dia cuba memanfaatkan hantaran rendah Kingsley Coman ketika menuju waktu rehat.
"Agak menyedihkan, kami tidak seharusnya membiarkan ia terjadi. Kami tidak boleh beraksi seperti dalam separuh masa pertama. Kami tidak berdisiplin, langkah kami sentiasa terlewat, itulah sebabnya kami berdepan masalah," kata Robben.
"Penampilan babak kedua lebih bagus seperti yang diharapkan. Kami mendominasi dan mencipta peluang, malangnya gol tidak tiba hari ini."
Must-Watch Video