Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, berkata barisannya boleh dikatakan yang paling teruk dalam sejarah kelab itu selepas mereka dibelasah 3-1 oleh Brighton dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), tengah malam tadi.
Sepakan penalti daripada Bruno Fernandes sempat membatalkan jaringan awal Yakinba Minteh untuk Brighton dalam kerancakan separuh masa pertama, namun pelawat menguasai babak kedua menerusi penyudah Kaoru Mitoma dan Georginio Rutter untuk pelawat pulang dengan kemenangan.
Skuad Seagulls itu memenangi perlawanan liga ketiga berturut-turut di Old Trafford, manakala United menduduki tangga ke-13 selepas tewas empat daripada lima perlawanan liga terakhir.
“Barangkali kami adalah skuad yang paling teruk dalam sejarah Manchester United,” katanya kepada Sky Sports.
Defeat at Old Trafford.#MUFC || #MUNBHA
— Manchester United (@ManUtd) January 19, 2025
"Saya tahu anda mahukan tajuk utama tetapi saya berkata demikian kerana kami perlu mengakuinya dan mengubahnya."
Amorim turut menekankan kesilapannya. "Ini tidak boleh diterima. Kami beraksi dalam ruang yang kecil, ia tidak konsisten," katanya.
"Kami gugup dan dibolosi, kemudian berdepan kesukaran untuk mengubah keadaan. Brighton selesa dan kami perlu bangkit dengan segera.
"Anda boleh berasakan sokongan padu di stadium tetapi kami tidak boleh menamatkan perlawanan seperti itu. Tidak kira apa jua keputusannya, kami perlu menjadi pasukan yang berbeza dalam setiap aspek.
"Adalah jelas situasi ini akan berlegar buat sementara waktu. Saya tidak akan mengubah cara saya melihat permainan, saya jelas mengenainya.
"Pemain akan menderita, penyokong akan menderita, maafkan saya."