Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Allegri julang wira hatrik Ronaldo

ronaldo-5.jpg
Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, memuji Cristiano Ronaldo dengan mengatakan adalah mustahil apabila hanya memikirkan bintang dunia itu hanya meledak satu gol dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) musim ini sebelum muncul wira di Turin, awal pagi tadi.

Ronaldo menjelmakan persembahan istimewa dengan merakamkan hatrik untuk mengetuai kemenangan 3-0 Juve ke atas Atletico Madrid, sekali gus menghantar mereka ke suku akhir dengan keputusan 3-2 secara agregat.

Sebelum pertembungan itu, bintang Portugis itu hanya sekali menemui sentuhan gol dalam enam perlawanan musim ini dan situasi berkenaan menghairankan Allegri.

"Adalah mustahil untuk memikirkan Cristiano hanya mempunyai koleksi satu gol dalam UCL musim ini," katanya dalam sidang akhbar.

"Dia menjaringkan gol kerana dia beraksi dengan baik di dalam kotak penalti dan rakan sepasukannya juga beraksi dengan baik.

"Ini perlawanan yang hebat menerusi kehadiran penonton hebat yang memberikan sokongan padu kepada kami. Barisan pemain menghadiahkan satu persembahan sebenar kepada semua peminat bola sepak Itali. Itulah perkara yang paling penting."

Ketibaan Ronaldo meletakkan Juve sebagai salah sebuah pasukan kegemaran dalam UCL musim ini sejak kali terakhir gergasi Serie A tersebut memenanginya pada 1996.

Begitupun, Allegri segera meredakan tanggapan tersebut dengan mengatakan pasukannya hanyalah salah satu daripada pasukan yang bertanding.

"Juventus bukanlah pasukan pilihan untuk memenangi UCL. Kami adalah salah satu daripada pesaingnya  dan trofi ini merupakan salah satu daripada matlamat kami pada musim ini," katanya.

"Sekiranya kami terkandas, ia bukan bererti satu kegagalan. Setiap tahun, Juventus harus beraksi dalam UCL dan hari ini, saya ulanginya, kami akan ke peringkat seterusnya kerana jika kami tidak mara, maka kami tidak mempunyai peluang untuk menang. Penjelasannya sangat mudah.

"Anda tidak perlu lulus di Harvard untuk memahaminya -- jika kami menembusi peringkat kumpulan, peluang kami akan meningkat. Kalau tidak, kami akan mengharungi Liga Europa atau menontonnya dari sofa rumah sendiri, sama seperti orang lain."
 

Advertisement

Must Watch Video