Skip to main content

Bola Sepak

Alderweireld anggap Costa paling sukar dirantai

diegocosta.jpg
Pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Toby Alderweireld, mengakui Diego Costa adalah penyerang yang paling sukar untuk diawasinya apabila dia bersedia untuk cuba mengekang bintang Chelsea itu dalam aksi separuh akhir Piala FA, malam ini.

Tonggak antarabangsa Belgium itu menghabiskan musim 2013-14 sebagai rakan sepasukan Costa di Atletico Madrid dan sempat menghadapinya beberapa kali dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketika menentang Sepanyol.

Dalam masa yang sama, dia memuji Costa kerana memainkan peranan besar dalam kerjayanya dengan pengalaman dalam LaLiga membantu memantapkan mereka.

"Adakah dia merupakan penggempur paling sukar yang pernah saya kawal? Ya, dia adalah pemenang," kata Alderweireld kepada Evening Standard. 

"Dia berbakat, kuat, klinikal di depan gol dan dia mempunyai teknik yang baik. Dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia.

"Saya berada di Ajax sebagai pemain muda sebelum menyertai Atletico dengan pemain berpengalaman. Ia banyak membantu saya kerana berpeluang berlatih bersama pemain seperti Costa.

"Terdapat pemain hebat dalam skuad itu. Kami memenangi LaLiga dan kami mara ke final Liga Juara-Juara. Ia memberi impak besar kepada prestasi saya. Ada persamaan di antara skuad Atletico dan kumpulan pemain di Tottenham, terutama daripada segi semangat."

Setelah menduduki tempat ketiga dalam liga tahun lepas, Spurs kini menghuni tangga kedua di belakang Chelsea dalam usaha mereka memburu gelaran pertama sejak 1961.

Aksi separuh akhir Piala FA dalam pertembungan London itu mewakili peluang terbaik mereka untuk memenangi kejohanan itu sejak mencapai peringkat yang sama pada 2012.

"Ini adalah pasukan muda dengan keinginan untuk mencapai beberapa gelaran utama," tambah Alderweireld. "Semua orang mahu memperbaiki prestasi secara individu dan sebagai satu pasukan. Yang pasti, kadar kerja di sana merupakan sesuatu yang boleh disamakan dengan Atletico.

"Saya memenangi kejuaraan liga dengan Ajax dan Atletico, ia akan menjadi lebih indah untuk meraih trofi utama bersama Tottenham juga. 

"Kami akan melakukannya, 100 peratus. Dengan pasukan ini dan orang yang berusaha keras, kami akan memenangi trofi. Jika bukan pada musim ini, mungkin musim berikutnya. 

"Perlawanan (hari) ini mampu mengubah banyak perkara, walaupun anda memerlukan sedikit tuah. Kami akan melakukan yang terbaik untuk menang."



 

Advertisement

Must Watch Video