Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Alba tagih Messi turuti jejaknya sambung kontrak

alba.jpg
Jordi Alba berharap agar Lionel Messi mengikut jejaknya dengan menandatangani kontrak baru dengan Barcelona.

Pertahanan tengah kiri, Alba, memuktamadkan kontrak baru dengan pendahulu LaLiga itu semalam yang akan mengekalkannya di Camp Nou sehingga penghujung 2024. 

Pemain Sepanyol itu kini menagih rakan sepasukan, Messi, agar menyusulinya dengan memanjangkan kontraknya yang akan berakhir pada Jun 2021.

"Semoga Messi akan kekal untuk sekurang-kurangnya selama saya berada di sini," kata Alba kepada pemberita dalam majlis menandatangani kontrak baru semalam. 

"Saya mempunyai persefahaman yang baik dengannya, gandingan kami telah bertambah baik. Saya berharap Messi akan bertahan selama bertahun-tahun lagi di Barcelona."

Bercakap tentang perjanjian barunya itu, Alba berkata: "Saya sangat berterima kasih kepada kelab ini. Saya menyertai sebuah pasukan muda ini selama lapan tahun dan saya akan berada di kelab ini untuk lima tahun lagi.

"Saya juga berterima kasih kepada ejen saya atas tugas yang telah mereka lakukan, iaitu ibu bapa dan adik saya. Secara amnya, seluruh keluarga saya, terutama anak dan isteri saya, mereka memberikan saya sokongan yang membolehkan saya beraksi cemerlang di atas padang. 

"Saya berada dalam detik terbaik kerjaya. Saya sangat bersemangat untuk terus menang bersama Barca."

Perhatian Alba akan beralih ke saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Khamis ini untuk aksi timbal balik pusingan 16 menentang Lyon selepas terikat tanpa jaringan dalam pertemuan pertama di Perancis.

Pemain berusia 29 tahun itu bertekad untuk memastikan Barca memburu tiga kejuaraan, dengan gergasi Sepanyol itu dalam kedudukan selesa memimpin puncak LaLiga dengan kelebihan tujuh mata dan mara ke final Copa del Rey untuk bertemu Valencia.

"Ini adalah trofi yang sukar untuk dimenangi tetapi jelas sekali Lyon merupakan sebuah pasukan yang pemainnya sudah lama mengenali antara satu sama lain. 

"Kami akan berjuang untuk merebut setiap gelaran, kami akan terus bersaing dengan cara yang sama," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video