Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

Aksi Pogba, Mbappe ranapkan Russia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rusfra270318i_1.jpg
RUSSIA 1 PERANCIS 3
 
Persembahan cemerlang yang dipamerkan Paul Pogba dan Kylian Mbappe membolehkan Perancis meraih kemenangan 3-1 ke atas Russia dalam aksi persahabatan di Saint Petersburg, awal pagi tadi.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan di tangan Colombia sebelum ini, skuad Les Bleus melakukan rombakan dalam kesebelasan utama, termasuk mempertaruhkan gandingan trio bawah 23 tahun, iaitu Anthony Martial, Ousmane Dembele dan Mbappe di barisan depan.

Selepas permulaan yang agak hambar buat skuad kendalian Didier Deschamps itu, percaturan berkenaan tampak membuahkan hasil apabila Mbappe yang menjaringkan 13 gol untuk Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Ligue 1 musim ini, membuka tirai jaringan pada minit ke-40.

Pemain berusia 19 tahun itu bijak mengutip bola hantaran Pogba dan melepasi halangan Roman Neustadter, sebelum melepaskan sepakan dari jarak dekat menewaskan penjaga gol, Andrey Lunev, untuk memberikan pendahuluan 1-0 buat Les Bleus.

Alan Dzagoev hampir menyamakan kedudukan buat tuan rumah dua minit kemudian menerusi tandukan, namun dia didakwa berada dalam posisi ofsaid.

Perancis hanya memerlukan empat minit selepas babak kedua bermula untuk melebarkan kedudukan, kali ini hasil sepakan percuma Pogba dari jarak 25 ela untuk membuatkan anak-anak buah Stanislav Cherchesov ketinggalan 2-0.

Fedor Smolov memberikan sedikit harapan buat Russia apabila merapatkan jurang pada minit ke-68 selepas menyempurnakan bola hantaran Igor Smolnikov, yang menjadikan kedudukan 2-1.

Kemasukan Presnel Kimpembe dan Blaise Matuidi dilihat sebagai tindakan bijak Deschamps kerana kedua-duanya mengekang pemburuan gol penyamaan tuan rumah dengan kemas.

Ketika aksi berbaki tujuh minit, Mbappe membunuh sisa kebangkitan Russia menerusi gol ketiga setelah sekali lagi nenerima hantaran Pogba untuk menjadikan kedudukan 3-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Perancis bakal berdepan tiga lagi aksi persahabatan menentang Ireland, Itali dan Amerika Syarikat, sebelum memulakan saingan Piala Dunia 2018 bertemu Australia pada 16 Jun depan, sementara Russia terus gagal mengutip kemenangan sejak kali terakhir melakukannya pada 7 Oktober tahun lalu apabila menundukkan Korea Selatan 4-2.
 

Advertisement

Must Watch Video