Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Aksi persahabatan berbaloi -- Jelius

jelius-ating.jpg
Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata tiga perlawanan persahabatan yang diharungi pasukan itu di Semenanjung baru-baru ini berbaloi dan telah memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, ia bukan sahaja memberi ujian baik tetapi turut membantu pasukan mengekalkan momentum baik mereka dalam saingan liga sebelum ini.

"Terima kasih kepada pengurusan, terutama pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, kerana membolehkan pasukan mendapatkan perlawanan persahabatan yang diperlukan itu.

"Ia adalah kunjungan yang sangat berbaloi," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu hari ini.

Jelius berkata dua pertemuan dengan Melaka United dan sekali dengan PKNS FC banyak membantu, terutama dalam persediaan skuad Tambadau itu untuk meneruskan saingan Liga Perdana menentang Pulau Pinang di Stadium Likas, Sabtu ini.

Dua perlawanan dengan Melaka United menyaksikan Sabah tewas 0-2 dalam perlawanan pertama tetapi pasukannya menebusnya dengan kemenangan menerusi jaringan yang sama. 

Skuad utama Sabah juga menunjukkan mereka masih dalam momentum baik apabila menundukkan PKNS 1-0 dalam perlawanan persahabatan terakhir.

"Seperti saya kata pada awalnya, keputusan perlawanan adalah perkara kedua dalam kunjungan ke Semenanjung. 

"Apa yang penting, kami dapat menguji pemain dan saya gembira kerana berpeluang menurunkan kesemuanya," katanya.

Tambah beliau, kesemua pemain kini di tahap baik dan bersedia untuk beraksi, termasuk Luiz Carlos Junior, yang tidak dibawa dalam kunjungan ke Semenanjung kerana kecederaan.

 

Advertisement

Must Watch Video