Pemain Kedah, Muhd Akhyar Rashid, mendapat inspirasi dengan kejayaan penyerang PKNP, Shahrel Fikri Md Fauzi, yang berhijrah ke Liga Satu Thailand sambil menanam cita-cita yang sama pada masa depan.
Akhyar cukup mengetahui kisah hidup Shahrel yang penuh berliku kerana menghadapi masalah jantung hingga hampir bersara sepenuhnya daripada dunia bola sepak.
Bagaimanapun, Akhyar kagum dengan semangat Shahrel yang tidak kenal erti putus asa sehingga meletakkan dirinya seperti hari ini.
Kini dia mula terfikir mahu mengikut jejak langkah Shahrel satu hari nanti tanpa memikirkan soal tawaran lumayan semata-mata.
"Jika menerima tawaran, saya mahu pergi beraksi di luar negara tanpa mengira gaji yang ditawarkan," kata Akhyar.
"Saya sangat berbangga dengan Shahrel yang mengharungi laluan berliku sebelum menyertai PKNP."
Bersama Kedah, Akhyar menjelaskan dia cukup gembira persefahamannya dengan Andik Vermansah semakin meningkat, malah mempunyai corak permainan hampir serupa.
Cuma dia mengakui perlu berhati-hati bagi memastikan tidak mengalami sebarang kecederaan serius yang boleh menjejaskan kariernya ekoran sering kali dikasari oleh pertahanan lawan.
"Kepantasan merupakan kelebihan saya dan lawan sering melakukan kekasaran untuk menghalang saya dan ia mampu memberikan kecederaan, jadi saya perlu lebih berjaga-jaga," ujarnya.
Penulis Jemputan
Fri Jun 29 2018