Skip to main content

Bola Sepak

Ajax lancar usaha terakhir pujuk ten Hag

ten-hag.jpg
Ajax sudah cuba sedaya upaya untuk memastikan sasaran Manchester United, Erik ten Hag, agar terus mengemudi kelab itu, demikian menurut Pengurus Teknikal Ajax, Gerry Hamstra.

Ten Hag makin hangat dikaitkan dengan jawatan di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di penghujung musim  ini sebaik Ralf Rangnick beralih sebagai tukang penasihat kelab. 

Pengurus dari Belanda itu di samping Mauricio Pochettino muncul antara pilihan untuk memainkan peranan utama di Old Trafford sambil laporan minggu lalu mendedahkan ten Hag sebenarnya telah pun memeterai perjanjian.

Hamstra -- dilantik sebagai pengarah teknikal tertinggi juara Eredivisie itu selepas Marc Overmars melepaskan jawatannya awal tahun ini -- bagaimanapun akur kata putus bukan lagi terpulang kepada Ajax. 

"Kami telah melakukan segala yang terdaya dan termampu demi mengekalkannya," katanya kepada ESPN.

"Tawaran kontrak lanjutan? Ya. Lebih banyak wang? Semuanya telah ditawarkan tanpa perlu saya menyebutnya secara terperinci."

 

Dalam masa sama, bekas pertahanan The Red Devils, Jaap Stam, mengingatkan ten Hag tentang tekanan menggunung di kelab EPL itu. 

"Tekanan di United jauh lebih besar," katanya. 

“Pengurusan kelab boleh bersabar tetapi itu tidak bermakna anda boleh menikmatinya di luar sana. 

"Gelaran dan Liga Juara-Juara (UCL) sememangnya sudah dijangka. Tiada bezanya di bawah jurulatih baharu sekalipun."

Sementara itu, Ajax berputih mata dalam Piala KNVB apabila kalah 1-2 kepada seteru ketat, PSV Eindhoven, awal pagi tadi. 

Advertisement

Must Watch Video